WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEM BERBASIKAL TREK CATAT DETIK MANIS, SUMBANG PINGAT KE-200 MALAYSIA

18/12/2025 07:12 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Kem berbasikal trek negara mencipta detik manis apabila melengkapkan sasaran pingat ke-200 Malaysia selepas meraih emas acara kejar mengejar berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2025 di Velodrom Hua Mark, hari ini.

Skuad negara yang dibarisi Abdul Azim Aliyas, Muhammad Adam Hakimi Nazuan, Muhammad Hafiq Mohd Jafri, Muhammad Yusri Shaari dan New Joe Lau menewaskan pasukan tuan rumah Thailand yang meraih pingat perak, manakala Indonesia membawa pulang gangsa.

“Ikutkan kami sendiri tidak tahu mengenai pingat ke-200 itu dan ia tidak langsung bermain di fikiran kami. Kami hanya fokus untuk berlumba sehabis baik.

“Kami sendiri tidak menyangka pencabar utama Indonesia, gagal menamatkan perlumbaan (DNF). Berbulan-bulan kami berlatih sebagai persiapan kerana mereka memang kuat dalam acara ini. Apa pun, ini rezeki buat kami,” kata Abdul Azim ketika ditemui selepas perlumbaan.

Terdahulu, kem berbasikal trek turut cemerlang apabila menyumbang dua lagi pingat emas sekali gus melonjakkan kutipan pingat negara.

Pingat emas itu disumbangkan oleh Muhammad Ridwan Sahrom dalam acara keirin lelaki.

Ridwan muncul juara selepas menewaskan pelumba tuan rumah yang juga pemenang emas Sukan Asia 2018, Jai Angsuthasawit, dengan kelebihan 0.027 saat, manakala seorang lagi wakil Thailand, Norasetthada Bunma, melengkapkan podium di tempat ketiga.

Pingat emas kedua daripada kem berbasikal trek diraih Nur Aisyah Mohamad Zubir dalam acara scratch wanita, menewaskan dua pelumba Singapura masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan