WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PINGAT KE-200 NEGARA HADIR DARI BASIKAL TREK, AMARJIT ANGGAP KEJAYAAN MANIS

18/12/2025 07:18 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan kejayaan skuad berbasikal trek negara menyapu bersih tiga pingat emas di Velodrom Hua Mark di sini sebagai detik paling manis di Sukan SEA 2025.

Menurut Amarjit, pencapaian luar biasa itu menjadi lebih bermakna apabila emas ketiga yang diraih menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki turut menghadiahkan pingat ke-200 buat kontinjen negara di temasya kali ini.

Badan induk sukan itu juga sebelum ini hanya menyasarkan satu pingat emas untuk dibawa pulang daripada Thailand.

“Hari ini benar-benar hari yang menggembirakan dan membanggakan buat kami. Bukan sahaja sasaran awal satu emas berjaya dilepasi, malah skuad berbasikal trek menghadiahkan tiga emas sekali gus pingat ke-200 negara,” katanya ketika ditemui.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa momentum kemenangan itu mampu diteruskan dalam acara pecut berpasukan lelaki dan perlumbaan mata yang akan dipertandingkan esok.

Skuad berbasikal trek negara terdahulu mencipta sensasi apabila Muhammad Ridwan Sahrom menjuarai keirin lelaki, diikuti Nur Aisyah Mohamad Zubir dalam perlumbaan cratch wanita sebelum kuartet kejar-mengejar berpasukan lelaki menumbangkan Thailand di final.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan