KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kawasan kebun getah yang dilanda banjir berhampiran Masjid Mukim Pemberian Al Mahdi, Kampung Pemberian, Kuala Krai, malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahril Hakimy Sudin ditemukan pada 9.02 malam.
Beliau berkata maklumat awal memaklumkan mangsa dipercayai lemas selepas perahu buatan sendiri daripada tong drum yang dibelah menjadi perahu itu terbalik ketika melakukan aktiviti memasang jaring di kawasan kebun getah berkenaan.
“Mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai terjatuh selepas operasi pencarian dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.22 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai digerakkan ke lokasi kejadian.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.52 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial