WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA CAPAI SASARAN 200 PINGAT DI SUKAN SEA THAILAND 2025

19/12/2025 12:33 AM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Kontinjen Malaysia berjaya merealisasikan sasaran 200 pingat pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 selepas mengumpul keseluruhan 204 pingat setakat hari kesembilan kejohanan, yang akan melabuhkan tirainya Sabtu ini.

Daripada jumlah itu, Malaysia meraih 46 pingat emas, 49 perak, dan 109 gangsa, sekali gus berada di kedudukan kelima carta pungutan pingat setakat pukul 10 malam.

Pencapaian 46 pingat emas itu juga menandakan peningkatan berbanding edisi lepas, apabila Malaysia hanya meraih 34 pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Susulan prestasi memberangsangkan itu, Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan sasaran baharu dengan mengintai peluang memungut lebih banyak pingat emas bagi memintas Singapura, yang kini berada di tangga keempat dengan 48 pingat emas.

Bagi tujuan itu, Malaysia dilihat tidak berdepan masalah untuk menambah koleksi pingat, dengan tumpuan kini terarah kepada saingan acara berbasikal trek, di mana dua pingat emas menjadi rebutan esok.

Malaysia juga berpeluang menyapu bersih pingat emas dalam acara hoki dalam dewan serta hoki padang, selepas skuad lelaki dan wanita negara masing-masing melangkah ke perlawanan akhir.

Dua lagi pingat emas berada dalam genggaman negara, selepas kedua-dua acara skuasy perseorangan lelaki dan wanita bakal menyaksikan pertarungan sesama sendiri antara pemain Malaysia pada final di Kolej Vajiravudh esok.

Dalam pada itu, kem Malaysia meneruskan prestasi cemerlang hari ini dengan beberapa acara menyumbang emas, termasuk daripada sukan memanah, apabila trio compound berpasukan lelaki negara menewaskan tuan rumah Thailand.

Bertanding di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, trio memanah Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki mempamerkan ketenangan tinggi dalam keadaan cuaca mencabar, mencatat kemenangan 232-228.

Berbasikal trek paling mencuri tumpuan utama, apabila negara meraih tiga emas, masing-masing melalui Muhammad Ridwan Sahron dalam acara keirin lelaki, diikuti Nur Aisyah Mohamad Zubir dalam perlumbaan scratch wanita, sebelum kuartet kejar-mengejar berpasukan lelaki menewaskan Thailand di final.

Skuad kabbadi lelaki melengkapkan hari gemilang Malaysia, mencipta sejarah apabila merangkul pingat emas pertama dalam sukan itu di Sukan SEA, selepas menundukkan Thailand dalam perlawanan akhir acara 3 Bintang di Universiti Teknologi Rajamangala Rattanakosin.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan