WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAH SING, KLK LAND BENTUK USAHA SAMA BANGUNKAN TAMAN PERINDUSTRIAN DI KULAI

19/12/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd memeterai perjanjian usaha sama strategik dengan unit Kuala Lumpur Kepong Bhd, KLK Land Sdn Bhd, untuk memperoleh dan membangunkan tanah perindustrian pegangan bebas seluas 169.62 hektar di Kulai, Johor.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak menjelaskan pembangunan bersama MS Industrial Park @ Kulai, yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), akan dilaksanakan melalui struktur usaha sama, dengan Mah Sing dan KLK Land masing-masing memegang 60 peratus dan 40 peratus kepentingan ekuiti.

“Tanah ini diperoleh pada harga kira-kira RM274 juta. Berdasarkan anggaran nilai pembangunan kasar RM2.26 bilion, pembangunan ini dijangka menjadi hab perindustrian utama yang menyokong ekosistem perindustrian dan logistik Johor yang sedang berkembang,” tambahnya.

Kedua-dua syarikat memaklumkan Mah Sing akan menerajui perancangan, pembangunan dan pelaksanaan projek sekali gus membuktikan komitmen untuk mengembangkan portfolio hartanah perindustriannya.

Pengasas Mah Sing dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata usaha sama itu menandakan pencapaian penting usaha pengembangan pihaknya dalam segmen perindustrian.

“Tumpuan kami adalah untuk membina platform perindustrian bersepadu yang baik seterusnya menghimpunkan penggiat industri utama, pembekal mereka serta rakan rantaian nilai yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata Johor kekal sebagai kawasan pertumbuhan strategik bagi Mah Sing susulan kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura, kesalinghubungan yang kukuh serta inisiatif diteraju kerajaan seperti JS-SEZ dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Kepong, Tan Sri Lee Oi Hian berkata usaha sama itu sejajar dengan strategi jangka masa panjang KLK Land untuk memanfaatkan nilai simpanan tanahnya di Kulai.

“Melalui perkongsian dengan Mah Sing ini, kami dapat memulakan pembangunan fasa pertama secara strategik seterusnya akan menawarkan dan memangkinkan perbandaran terancang seluas 1,011.71 hektar yang dirancang KLK Land,” katanya.

MS Industrial Park @ Kulai dirancang sebagai pembangunan perindustrian bersepadu yang merangkumi kilang kluster, berkembar dua dan sesebuah, serta tanah untuk gudang, hab logistik dan pusat data.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan