ISKANDAR PUTERI, 20 Dis (Bernama) -- Kemampuan membolosi gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi suntikan semangat terbaik kepada Kelantan The Real Warriors (TRW) meskipun tewas 1-4 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Penolong Ketua Jurulatih TRW Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata jaringan Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-73 membuktikan keberanian serta keupayaan pemainnya bersaing dengan pasukan pilihan sekali gus menambah keyakinan untuk perlawanan seterusnya pada 24 Dis.
“Mereka (pemain) tidak gentar untuk beraksi, mampu mengawal permainan dan mencipta peluang. Walaupun hanya satu jaringan, tetapi itu suntikan semangat yang baik untuk kami menentang Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Akmal Rizal berkata anak buahnya tidak menunjukkan perasaan takut berhadapan pasukan lebih berpengalaman dan dibarisi pemain import berkualiti, sebaliknya menjadikan perlawanan itu sebagai platform pembelajaran berharga.
Beliau juga memuji kecergasan pemain kerana mampu mengekalkan intensiti tinggi sepanjang 95 minit perlawanan walaupun berdepan tekanan berterusan daripada JDT.
Dalam pada itu, Akmal Rizal berkata pihaknya sedang berbincang dengan pengurusan bagi memperkukuh pasukan menjelang jendela perpindahan kedua, khususnya pada bahagian serangan untuk meningkatkan keberkesanan penyudah.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz menggesa pemain untuk terus mengekalkan fokus sepenuhnya serta mengelak membuat kesilapan tidak perlu yang boleh menyebabkan gawang dibolosi walaupun mereka kini berada pada prestasi yang mengagumkan.
Beliau menegaskan kesilapan itu tidak harus diletakkan sepenuhnya pada penjaga gol.
“Tidak, ia bukan hanya kesilapan penjaga gol. Ada kalanya penjaga gol tidak dapat bertindak balas dengan sempurna (menyelamatkan gawang daripada dibolosi) dan itu boleh difahami,” katanya.
Munoz berkata berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain dan kekal yakin JDT berada pada landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan buat kali ke-12 berturut-turut.
JDT yang menduduki tangga teratas liga dengan 36 mata daripada 12 perlawanan, belum kalah dan hanya bolos lima gol musim ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial