PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports terus memberi tumpuan kepada usaha memperluas kesalinghubungan udara selain memperkasakan kecekapan operasi lapangan terbang sebagai persediaan menghadapi jangkaan permintaan perjalanan lebih tinggi, kata Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan Malaysia Airports bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan untuk menyokong pengembangan rangkaian, mengoptimumkan jadual penerbangan dan meningkatkan kecekapan operasi secara menyeluruh di semua lapangan terbang kendaliannya.
“Pendekatan kerjasama ini membantu memastikan kapasiti, tahap perkhidmatan dan aliran penumpang selaras dengan pertumbuhan selain memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keyakinan syarikat penerbangan terhadap pasaran penerbangan Malaysia kekal kukuh yang dapat dilihat menerusi pelancaran laluan baharu di seluruh rangkaian lapangan terbang pada November dan Disember 2025.
Beliau berkata antara penambahan yang ketara ialah perkhidmatan Spring Airlines dari Shanghai diikuti Xiamen Airlines dari Hangzhou dengan kedua-dua penerbangan dari China itu ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata 9 Air juga telah memulakan penerbangan yang menghubungkan Haikou, China ke Kuching, Sarawak dan Pulau Pinang; Hong Kong Express melancarkan laluan baharu dari Hong Kong ke Kota Kinabalu, Sabah; TransNusa memulakan perkhidmatan dari Jakarta, Indonesia ke Pulau Pinang manakala Loong Air mengendalikan penerbangan sewa khas dari Shenzhen, China ke Kuching.
Selain itu, beliau berkata Batik Air Malaysia telah memperluas rangkaian dengan perkhidmatan baharu yang menghubungkan Subang ke Singapura, Jakarta, Kuala Namu (Indonesia), Kansai (Jepun), Langkawi dan Johor Bahru; Singapura ke Ipoh, Perak dan Pulau Pinang serta laluan baharu dari Tashkent (Uzbekistan) ke Langkawi.
“Penambahan laluan ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan strategik di Asia Tenggara dan memperluas pilihan kesalinghubungan penumpang sama ada bagi tujuan perniagaan atau pelancongan,” katanya.
Mohd Izani berkata pertumbuhan rangkaian syarikat penerbangan Malaysia Airports turut dicerminkan melalui prestasi trafik penumpang.
“Pada November 2025, rangkaian lapangan terbang tempatan merekodkan 8.7 juta pergerakan penumpang terdiri daripada 4.7 juta pengembara antarabangsa dan 4 juta domestik. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu masuk utama mengendalikan 5.5 juta penumpang.
“Termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, jumlah penumpang bagi kumpulan mencecah 12.9 juta untuk bulan tersebut,” katanya.
Mohd Izani berkata peningkatan ketara bagi perjalanan domestik dan antarabangsa dijangka memandangkan cuti sekolah dan sambutan perayaan semakin hampir.
Beliau menasihatkan penumpang memperuntukkan masa mencukupi untuk daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan penyerahan bagasi, mematuhi tempoh tangguh 10 minit di kerbside serta menggunakan aplikasi MYAirports dan MyBorderPass untuk mendapatkan maklumat terkini penerbangan, pandu arah dan pelepasan imigresen yang lancar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial