WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA 2025: SKUAD SPEEDY TIGERS TERUS DOMINASI HOKI LELAKI, PERTAHAN PINGAT EMAS

19/12/2025 03:10 PM

CHONBURI, 19 Dis (Bernama) -- Ledakan hatrik Amanraj Sarwan menyemarakkan kemenangan Malaysia 8-0 menentang Thailand, ketika skuad hoki lelaki negara menepati sasaran meraih pingat emas dalam aksi final di Sukan SEA Thailand 2025 hari ini.

Turun dengan misi melebarkan dominasi emas acara hoki padang di setiap edisi temasya itu, anak buah Sarjit Singh bagaimanapun perlu menunggu sehingga penghujung suku pertama untuk membuka tirai jaringan menerusi Muhajir Abdu Rauf.

Malaysia meningkatkan rentak permainan sejurus perlawanan bersambung dalam suku kedua dan berhasil melebarkan jurang selepas mencetak dua jaringan masing-masing hasil jaringan padang Faiz Jali pada minit ke-27 dan Aiman Rozemi selang seminit kemudian.

Suku ketiga, tambahan jaringan keempat dihasilkan Fitri Saari pada minit ke-42.

Malaysia melengkapkan suku terakhir dengan menambah empat lagi jaringan bermula dengan Alfarico Liau pada minit ke-50 sebelum Amanraj mencetak hatrik (55',57',60').

"Kami memang menjangka pingat emas ini, namun bukan jaringan sebegini banyak. Satu hal untuk diketahui bahawa pingat itu mampu dimenangi, tetapi anda tetap perlu bermain dengan cemerlang untuk meraihnya,” kata Sarjit kepada pemberita selepas perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini mengumpul 18 pingat emas bagi acara hoki padang lelaki sejak penyertaan dalam temasya dwitahunan itu bermula di Kuala Lumpur pada1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023.

Sepanjang tempoh tersebut, skuad negara hanya sekali menamatkan saingan selaku naib juara iaitu pada Sukan SEA 1973 di Singapura.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan