WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA PAMER KETAHANAN EKONOMI KENTAL MESKIPUN BERDEPAN KETEGANGAN PERDAGANGAN - IMF

19/12/2025 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Malaysia mempamerkan daya tahan ekonomi yang kental tahun ini meskipun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global, disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik, peningkatan pekerjaan dan kitaran kukuh sektor teknologi global.

"Prestasi teguh ini sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi negara yang kukuh - pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat," kata Ketua Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia, Masahiro Nozaki selepas sesi perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain.

Menurut IMF, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2025 telah membantu mengurangkan ketidakpastian terhadap perniagaan dan pengguna di Malaysia.

Bagaimanapun, landskap global telah berubah, dengan ketidakpastian global menjadi satu normal baharu, pembinaan semula penampan makroekonomi Malaysia kekal menjadi satu yang kritikal.

"Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

“IMF mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, mencerminkan kesan tarif tinggi AS ke atas Malaysia," kata Nozaki dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pertumbuhan berdepan risiko negatif berpunca terutamanya daripada faktor luaran.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kelembapan permintaan luaran boleh menjejaskan Malaysia sekiranya berlaku peningkatan langkah-langkah perlindungan, turun naik pasaran kewangan global dan potensi penurunan ledakan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.

Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan berlakunya peningkatan positif, termasuk kejayaan dalam rundingan perdagangan global, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada dijangkakan dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang lebih pantas.

 

Pengurusan Fiskal Berhemat

“Komitmen Malaysia terhadap pengurusan fiskal yang berhemat dapat dilihat melalui kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang penting pada 2023 dan pengurangan defisit fiskal yang stabil sejak 2022,” kata Nozaki.

Beliau berkata IMF menyambut baik rancangan pihak berkuasa untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan kepada 3 peratus menjelang 2028.

Menurutnya, usaha berterusan membina semula penampan fiskal melalui langkah-langkah perbelanjaan dan hasil yang mampan dan berkualiti tinggi kekal penting memandangkan hutang kerajaan persekutuan yang berada pada 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024, masih melebihi paras pra-pandemik.

“Kami mengalu-alukan usaha berterusan untuk memperkukuh ketelusan fiskal dan kecekapan perbelanjaan, termasuk kelulusan Akta Perolehan Kerajaan 2025.

“Inflasi, dengan purata 1.4 peratus sepanjang Januari-Oktober 2025, diunjurkan kekal stabil dan secara beransur-ansur kembali kepada purata jangka panjangnya iaitu 2 peratus.” katanya.

Dalam konteks ini, beliau berkata, IMF menilai pendirian dasar monetari semasa sebagaimana yang sesuai.

 

Dasar Monetari Perlu Terus Bersandarkan Kepada Data 

Pada masa depan, katanya, dasar monetari perlu kekal bersandarkan kepada data untuk terus mengukuhkan jangkaan inflasi dan memelihara pertumbuhan di tengah-tengah ketidakpastian global yang meningkat.

Selain itu, katanya, IMF juga mengalu-alukan komitmen berterusan pihak berkuasa terhadap fleksibiliti kadar pertukaran dan usaha berterusan untuk memperdalam pasaran pertukaran asing.

"Risiko sektor kewangan sistemik kekal terkawal. Bank-bank Malaysia mengekalkan penampan modal dan kecairan yang mencukupi, lembaran imbangan isi rumah dan korporat kekal sihat, dan pasaran perumahan kekal stabil,” katanya.

Nozaki berkata langkah berhemat yang berterusan penting dalam mendepani ketidaktentuan seperti isi rumah dengan tahap kadar hutang yang tinggi, pendedahan bank kepada firma yang terjejas akibat tarif AS, dan hubungan antara bank dan institusi kewangan bukan bank.

"Risiko pendanaan luaran bank kekal terkawal dan dikurangkan melalui pegangan aset mata wang asing yang mencukupi, walaupun pemantauan berterusan diperlukan memandangkan risiko pasaran kewangan global yang tinggi,” katanya.

Pelaksanaan pantas pembaharuan struktur di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026-30 adalah kunci bagi pertumbuhan inklusif yang didorong permintaan domestik.

Pembaharuan pasaran buruh yang bertujuan untuk meningkatkan gaji sektor swasta, mengurangkan kekurangan pekerjaan berkaitan kemahiran dan meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita dapat membantu mencapai matlamat pembangunan yang bercita-cita tinggi di bawah RMK-13.

Perdagangan dan integrasi kewangan yang lebih mendalam dengan ASEAN dapat meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang di Malaysia.

Menerusi kenyataan itu, pasukan IMF turut mengucapkan terima kasih kepada para pegawai Kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia, institusi awam lain, dan wakil daripada sektor swasta atas perbincangan yang produktif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan