Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Pemain boling Malaysia mempamerkan aksi cemerlang untuk menambah satu lagi pingat emas untuk negara pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas menjuarai acara berpasukan wanita di Blu-O Rhythm & Bowl, Major Cineplex Ratchayothin, pada Jumaat.
Kuartet wanita kebangsaan dibarisi Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan, Adania Mohd Redzwan dan Nur Hazirah Ramli menewaskan pasukan Indonesia, yang diwakili Sharon Adelina Liman Santoso, Aldila Indryati, Putty Insavilla Armein dan Alisha Nabila Larasati, 817-773 pada perlawanan akhir untuk merangkul pingat emas.
Li Jane berkata beliau berbangga dengan rakan sepasukan, khususnya pemain muda Adania dan Hazirah, yang bangkit pada saat penting dan memainkan peranan besar dalam kejayaan pasukan.
“Kemenangan ini amat bermakna buat kami, kerana kami benar-benar bertekad untuk memenangi emas. Saya gembira kerana keempat-empat kami berjuang habis-habisan dalam kedua-dua perlawanan, separuh akhir menentang Thailand dan perlawanan akhir menentang Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, pasukan wanita Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan meyakinkan 865-817 ke atas Thailand yang diwakili Chawakorn Wutti, Phattaranan Pingchittapraphai, Pinmanus Khumchaipom dan Ramita Samtong, pada peringkat separuh akhir.
Kemenangan itu merupakan pingat emas kedua Malaysia dalam acara boling pada temasya berkenaan selepas Rafiq Ismail dan Syazirol Shamsuddin meraih gelaran beregu lelaki pada Selasa.
Sementara itu, pasukan lelaki negara yang dibarisi Muhammad Syazirol Shamsuddin, Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam dan Fan Yew Tsen terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, selepas tewas 723-814 kepada pasukan Filipina yang terdiri daripada Kenneth Chua, Marc Dylan Custodio, Artegal Barrientos dan Mark Jesus San Jose pada separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial