WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN SEA 2025: TIADA KEJUTAN, FASA PENINGKATAN WARNAI PENCAPAIAN KEM TERJUN KEBANGSAAN 

20/12/2025 09:04 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Kem terjun negara mungkin tidak menyapu bersih pingat emas kali ini, namun pencapaian yang dilakar pada Sukan SEA Thailand 2025 jelas mencerminkan sebuah pasukan yang sedang melalui fasa peningkatan.

Tanpa kelibat beberapa nama besar termasuk ratu terjun Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, Pengurus Pasukan Desdemona Mollon berkata kebanyakan atlet yang tampil pada temasya kali ini masih melalui fasa meningkatkan tahap kesukaran terjunan, yang menuntut masa dan pengurusan rapi.

Daripada enam penerjun yang diketengahkan, hanya dua mempunyai pengalaman beraksi pada Sukan SEA sebelum ini, iaitu Muhammad Syafiq Puteh dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj.

“Itu pasukan junior. Hanya Muhammad Syafiq berada di bawah program senior dan telah melengkapkan terjunan sepenuhnya.

“Dari segi prestasi penerjun junior, saya berpuas hati dengan tahap kesukaran mereka ketika ini dan mereka sebenarnya berada pada landasan yang betul,” katanya ketika ditemui di sini.

Desdemona berkata barisan kejurulatihan telah menjangkakan keputusan edisi ke-33 temasya dwitahunan itu, memandangkan pesaing dari Thailand dan Singapura kini berada pada prestasi kemuncak selepas beraksi dalam beberapa edisi Sukan SEA.

Beliau optimis terhadap potensi skuad negara dan yakin skuad ini mampu memberikan saingan sengit menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Tahun hadapan bakal menjadi batu loncatan penting, menyaksikan Malaysia merancang mendedahkan lebih ramai penerjun untuk menyertai kejohanan antarabangsa yang penting bagi mempercepat pencapaian mereka daripada status junior kepada senior.

Kem terjun negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan merangkul dua pingat emas dan satu gangsa dalam pertandingan selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Akuatik, Kampus Universiti Assumption Suvarnabhumi di Samut Prakan.

Gandingan muda negara, Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim meraih emas acara tiga meter (m) papan anjal seirama lelaki, manakala Nur Eilisha bersama rakan gandingannya Nurul Farisya Alia Affendi menguasai acara platform seirama wanita.

Rui Jie turut membawa pulang pingat gangsa menerusi acara satu meter papan anjal lelaki.

Bagaimanapun, dominasi Malaysia dalam acaral tiga meter papan anjal lelaki sejak edisi 2005, berakhir dengan keputusan menghampakan apabila tiada penerjun negara berjaya menaiki podium.

Penerjun Elvis Priestly Clement menamatkan saingan pada kedudukan keempat dengan jumlah 359.80 mata, manakala Muhammad Syafiq, pemenang emas edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023, berada pada tempat kelima dengan 356.30 mata.

Walaupun persembahan kurang memberangsangkan dalam acara itu, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan meraih dua daripada empat pingat emas yang dipertandingkan kali ini.

Singapura pada tempat kedua dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa, diikuti Thailand (1-2-0), Vietnam (0-0-1) dan Indonesia (0-0-1).

Sukan SEA Thailand 2025 yang bermula pada 9 Disember lepas melabuhkan tirainya hari ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan