BUTTERWORTH, 21 Dis (Bernama) -- Parti Makkal Sakti tidak pernah berhasrat untuk menggantikan kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN), kata presidennya Datuk Seri RS Thanenthiran.
Beliau berkata parti berusia 17 tahun itu juga tidak akan mengambil kesempatan terhadap sebarang pergolakan dalaman antara MIC dan BN dengan menawarkan Makkal Sakti sebagai alternatif kepada masyarakat India.
Sebaliknya, katanya Makkal Sakti akan bekerjasama dengan MIC demi pembangunan kaum India di negara ini.
“Perjuangan MIC membela masyarakat India di negara ini sudah melebihi 70 tahun dan ia perlu dihormati. Kami tidak akan sesekali menentang MIC, itu prinsip kami.
“Makkal Sakti bukan alternatif kepada MIC. Kami bekerjasama dengan MIC untuk memperkukuh suara bersama demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri merasmikan perhimpunan berkenaan yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Selain itu, Thanenthiran berkata hubungannya dengan MIC serta Presidennya Tan Sri SA Vigneswaran sangat rapat dan diibaratkan seperti adik-beradik.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan MIC dalam BN, walaupun tersebar salinan surat berhubung permohonan semula parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 November lepas, parti itu memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada akan keluar atau kekal dalam BN, namun Vigneswaran berkata ketiga-tiga usul termasuk cadangan keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan parti.
Dalam perkembangan lain, Thanenthiran dalaman ucapan dasarnya meminta agar Pelan Tindakan Masyarakat India yang dilancarkan pada 2017 diberi perhatian dan dilaksanakan secara menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial