WILAYAH - TENGAH > BERITA

STARCRUISES SANTUNI RAI KELUARGA RMHC MALAYSIA DI ATAS PERSIARAN STAR VOYAGER

20/12/2025 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- StarCruises dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald House (RMHC Malaysia) hari ini menganjurkan acara port-stay untuk menyantuni hampir 200 keluarga dan pesakit kanak-kanak di atas kapal persiaran Star Voyager.

Acara itu menandakan pelayaran pertama Star Voyager bagi musim 2025/2026 dari Pelabuhan Klang, bermula 19 Dis 2025 hingga 2 Feb 2026, dengan destinasi termasuk Phuket, Singapura dan Bintan.

Presiden StarDream Cruises Michael Goh berkata acara berkenaan mencerminkan komitmen berterusan StarCruises dalam menyokong dan berinteraksi dengan komuniti tempatan, menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan “membawa harapan dan kegembiraan di atas kapal dan setiap destinasi.”

RMHC Malaysia menyediakan penginapan sementara menerusi program Rumah Ronald McDonald (RMH) untuk keluarga yang menemani anak-anak mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Beliau berkata StarCruises amat gembira dapat bersama-sama keluarga RMHC di atas Star Voyager bersempena dengan permulaan musim baharu menerusi pelayaran dari Pelabuhan Klang.

“Peluang ini amat bermakna kerana kami dapat berkongsi senyuman dan kami berharap pengalaman ini akan meninggalkan kenangan indah kepada semua yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acara khas itu menyatukan keluarga, kru dan tetamu istimewa dengan pengalaman ceria, termasuk kemunculan maskot StarCruises dan McDonald’s, serta persembahan akrobatik, silap mata dan tarian mesra keluarga oleh pasukan Star Voyager. 

 StarCruises turut menghadiahkan pakej pelayan percuma kepada ahli keluarga penerima manfaat RMH terpilih, yang memberikan mereka peluang untuk menikmati percutian masa hadapan di atas kapal berkenaan dan Genting Dream di bawah Dream Cruises, berlepas dari Pelabuhan Klang.

Sepanjang lawatan itu, keluarga RMH juga berpeluang menikmati minum petang di restoran The Lido yang menawarkan ruangan halal khusus, sementara kanak-kanak dihiburkan dengan aktiviti seni belon, persembahan badut dan kraf tangan kreatif.

Anak kapal turut membawa mereka menyertai lawatan sekitar kapal memperkenalkan tarikan menarik serta kemudahan rekreasi yang ada, selain berinteraksi dengan pesakit kanak-kanak, menawarkan pengalaman  penuh menceriakan.

Pengurus Besar RMHC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berharap syarikat lain dapat mencontohi kolaborasi seperti itu untuk menyokong keluarga yang menghadapi cabaran menemani anak-anak yang sedang menjalani rawatan perubatan di hospital dalam jangka masa yang panjang.

“Pengalaman itu memberikan peluang kepada keluarga untuk keluar buat sementara waktu daripada suasana hospital. Syarikat dan masyarakat juga boleh membantu keluarga dengan menyumbang melalui RMHC Malaysia,” katanya.

Seorang penerima manfaat, Rohaya yang anaknya Aryan Haiqal dilahirkan dengan keadaan kongenital serius, merakam kan penghargaan untuk pengalaman itu. 

“Pengalaman gembira sekali seumur hidup ini pasti akan dikenang oleh Aryan selama-lamanya,” katanya.

Menurut StarCruises, misi berkenaan selari dengan RMHC Malaysia yang komited untuk terus menyokong dan menyumbang kepada komuniti setempat dan usaha usaha syarikat untuk menjadikan pengalaman pelayaran sebagai platform yang memberi manfaat serta impak positif kepada masyarakat.

Untuk menyokong keluarga yang mempunyai anak menjalani rawatan perubatan, sumbangan kepada RMHC Malaysia boleh disalurkan menerusi https://rmhc-malaysia.my/

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan