WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAMUS BRAILLE KANAK-KANAK KEMBALIKAN HAK MEMBACA MURID CACAT PENGLIHATAN

22/12/2025 08:45 AM


From Muhammad Basir Roslan

Membaca jambatan ilmu menjadi mantera lazim dalam kempen menggalakkan budaya membaca di negara ini dengan penekanan pada pemerolehan ilmu menerusi pembacaan. 

Namun begitu, di sebalik usaha murni tersebut ada kelompok yang tercicir daripada peluang menimba ilmu menerusi bahan bacaan; satu isu yang telah lama membelenggu kanak-kanak dengan masalah penglihatan dek kekurangan buku dalam tulisan Braille.

Ketiadaan bahan asas ini bukan sekadar isu kemudahan, tetapi  mencerminkan krisis literasi Braille yang semakin meruncing. Kanak-kanak kurang upaya penglihatan kini lebih bergantung pada audio dan telefon pintar, menyebabkan kemahiran membaca sentuh merosot walaupun ia merupakan asas utama pendidikan mereka.

Ketiadaan Braille membataskan peluang mereka memahami ejaan, struktur ayat dan pembinaan kosa kata. Berbanding kanak-kanak biasa yang mempunyai banyak pilihan dalam mengenal huruf dan konsep asas membaca, mengapa murid kurang upaya penglihatan tidak diberikan hak yang sama? 

 

JURANG AKSES TERBIAR SEPI

Data Persatuan Penerbit Buku Malaysia  merekodkan lebih 240,000 judul buku baharu diterbitkan dalam tempoh 2009-2014, namun tidak ada satu pun terbitan dalam Unicode Braille (kod yang membolehkan pendigitalan Braille), sekali gus mengekang akses Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan menimba ilmu menerusi bahan bacaan.

Dalam temu bual dengan Bernama, pengasas dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) Hakimi Hassan berkata jurang itu bukan sekadar isu kekurangan bahan, sebaliknya satu krisis struktur yang memberi kesan jangka panjang.

pic-2

“Kalau buku baharu yang diterbitkan setiap tahun pun tidak ada dalam format Braille, macam mana murid nak biasakan diri dengan bahan rujukan yang sepatutnya mereka ada?” katanya, menambah literasi Braille berisiko merosot dengan tumpuan pada akses digital.

(YOBM  merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan berdaftar dengan Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. Mereka turut menyediakan perkhidmatan khusus kepada OKU penglihatan termasuk teknologi bantuan, pendidikan dan kebajikan.)

Dalam situasi semasa, kanak-kanak buta kian bergantung pada audio, video dan Internet sebagai sumber pembelajaran utama. Walaupun membantu, bahan digital tidak dapat menggantikan fungsi taktil Braille yang penting untuk memahami ejaan, struktur suku kata dan pembinaan kosa kata. Menurutnya, kebergantungan berlebihan pada audio menyebabkan murid sukar membaca sendiri teks ringkas seperti label atau arahan, sekali gus menjejaskan autonomi dan prestasi akademik mereka.

“Di setiap sekolah pendidikan khas, guru berusaha mengisi kekurangan ini dengan kreativiti sendiri, namun tanpa bahan asas yang konsisten, pembelajaran murid sering bermula dari kosong. Oleh itu, sebuah kamus asas adalah titik permulaan paling penting,” tegas Hakimi.

Kekosongan itu cuba diisi oleh YBOM sejak Mac 2025 menerusi projek Kamus Melayu-Inggeris Braille Bergambar Untuk Kanak-Kanak yang julung kali dihasilkan di negara ini. Setakat ini, lebih 230 jilid kamus telah diedarkan ke tiga sekolah pendidikan khas (Sekolah Kebangsaan Klang, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak), dengan perancangan memperluas agihan ke 35 sekolah Pendidikan Khas di seluruh Malaysia menjelang tahun depan.

"Kamus dwibahasa adalah keperluan utama yang sangat asas untuk pelajar. Perlu diketahui, setakat ini kamus dwibahasa belum disediakan oleh Kementerian Pendidikan atau mana-mana sekolah walaupun untuk murid biasa. Namun bezanya murid biasa masih boleh mendapatkan kamus dwibahasa di kedai-kedai buku. Akan tetapi, bagi pelajar OKU penglihatan mereka tidak mempunyai kamus dwibahasa khas untuk dibeli di pasaran,” katanya.

 

CABARAN TEKNIKAL

Berbentuk seakan ensiklopedia ringkas untuk kanak-kanak, iaitu abjad disertakan dengan gambar, penghasilan kamus ini memerlukan ketepatan teknikal yang jauh lebih rumit berbanding buku biasa. Huruf Braille yang nampak kecil itu sebenarnya mengambil ruang hampir empat kali ganda berbanding huruf bercetak. Implikasinya besar: sebuah buku teks biasa 10 muka surat boleh berubah menjadi 40 muka surat apabila diterjemah kepada Braille.

Sehubungan itu, Hakimi berkata pihaknya terpaksa mengurangkan contoh perkataan, memadatkan kandungan dan menyingkirkan elemen grafik yang tidak kritikal supaya setiap halaman masih praktikal untuk dibaca oleh anak kecil yang baru belajar menyentuh titik Braille.

Faktor itulah yang membuatkan satu set kamus asas “A hingga Z” akhirnya menjadi lima jilid berasingan. “Kalau ikut logik cetak biasa, 26 huruf patut muat dalam satu buku nipis. Tapi dalam Braille, satu huruf boleh jadi beberapa muka surat. Kami terpaksa pilih hanya lapan hingga 16 contoh sahaja bagi setiap huruf supaya murid tidak terbeban,” jelasnya. Kesedaran itu mendorong pasukan editorial mereka meneliti semula setiap patah perkataan, memastikan ia bernilai pedagogi dan sesuai untuk murid prabaca Braille.

pic-3

Percetakan juga berdepan cabaran kerana kebanyakan syarikat percetakan arus perdana tidak menawarkan perkhidmatan untuk jumlah pesanan kecil bagi kertas Braille. Malah ada yang menetapkan minimum penghasilan 100,000 naskhah. YOBM akhirnya memilih jalan yang lebih sukar tetapi realistik, iaitu menghasilkan sendiri setiap jilid secara manual menggunakan pencetak biasa dan dua unit “embosser” (alat cetak timbul) sedia ada.

Memanfaatkan dana sendiri dan sumbangan penaja, YBOM menghasilkan kamus itu mengikut keperluan murid, seperti B1 (buta sepenuhnya dan bergantung pada Braille); serta  B2 dan B3 (penglihatan amat terhad dan memerlukan gabungan Braille serta visual berkontras tinggi).

Buku kamus direka khas untuk pelajar B1, B2, dan B3, menggabungkan Braille dan visual berkontras tinggi yang membantu murid B2 dan B3 membentuk representasi mental objek, memperkukuh pemahaman awal dan mencegah fenomena “conceptual blindness” apabila penglihatan semakin berkurang.

Penghasilan visual berkontras tinggi juga ada cabarannya termasuk kos dakwat warna.

“Selain itu, hanya dakwat ‘original’ saja boleh digunakan, sebab dakwat murah akan cepat rosakkan pencetak kerana ia bukan dicipta untuk beban kerja sebegini,” jelas beliau, sambil menganggarkan mesin cetak mereka yang berharga sekitar RM500 itu hanya mampu bertahan beberapa bulan saja lagi sebelum perlu dibaiki ataupun diganti baharu.

Menurutnya, kamus itu juga perlu dihasilkan tanpa henti bagi menggantikan edisi terdahulu disebabkan  jangka hayat sesebuah kamus Braille agak pendek, iaitu sekitar enam ke tujuh bulan sebelum bentuk huruf yang timbul melengkung akan mula “terbenam” sekiranya kamus tidak dijaga dengan baik.

Peralatan mencetak timbul Braille pula menambah lagi lapisan kerumitan. Setakat ini, pihaknya hanya mempunyai dua unit “embosser” import dari Sweden dengan setiap satu melibatkan kos pembelian, penyelenggaraan serta alat ganti yang tinggi.

“Sejujurnya kalau campur semua peralatan, embosser, ink, printer, kertas Braille dan spare part sejak kami memulakan projek, jumlahnya melebihi ratusan ribu ringgit,” kongsinya.

 “Kalau satu embosser rosak, kapasiti terus jatuh separuh,” tambahnya lagi. Kos ini menjadi beban yang tidak terlihat, tetapi merupakan nadi seluruh operasi penerbitan kamus.

 

PENGHASILAN PENUH TELITI

Sementara itu, Pegawai Penerbitan dan Jurulatih Teknologi Maklumat YOBM  Andy Boo Teck Joo menjelaskan setiap set kamus dihasilkan dengan gabungan proses manual dan digital.

Mengakui proses tersebut mengambil masa meskipun menggunakan perisian khas dan teknologi maklumat, Boo berkata hal itu tidak dapat dielakkan kerana setiap perkataan yang dicetak dalam Braille mesti tepat. 

pic-4

“Setiap huruf Braille dihasilkan dengan teliti menggunakan papan kekunci khas tulisan Braille. Teks yang dihasilkan saya perlu semak sebelum diterjemahkan kepada Braille menggunakan perisian ‘text-to-braille’. Kemudian halaman kamus diolah menggunakan aplikasi  Duxbury Braille Translator dengan spacing dan layout perlu disusun dan disesuaikan untuk dicetak ke atas kamus,” jelasnya.

Bagaimanapun cabaran teknikal terbesar termasuk percetakan fizikal. “Mesin embosser satu set bernilai RM37,000 dan sangat sensitif, manakala untuk printer pula perlu dimasukkan helaian kertas satu per satu. Kalau salah, tulisan dan gambar tidak tepat,” ujarnya, menambah keseluruhan proses dipantau sendiri oleh beliau.

Di sebalik kecanggihan teknologi digital, Boo berkata kapasiti mereka terhad dan hanya mampu menghasilkan 10 set sehari.

 

TERUS BEREVOLUSI

Sementara itu, Hakimi berkata YOBM pada asalnya bermula dengan projek kamus dewasa dwibahasa Bahasa Melayu–Bahasa Inggeris yang menggabungkan tulisan Braille dalam teks Melayu dan Inggeris.

Penerbitan kamus itu bagaimanapun terhad disebabkan oleh kekangan teknikal dan juga kos, namun pengalaman yang diraih membantu mereka melaksanakan projek kamus untuk kanak-kanak.

Katanya penghasilan kamus dewasa tersebut bukan sekadar usaha akademik, sebaliknya membuka mata terhadap jurang besar dalam literasi Braille.

“Pengalaman menerbitkan kamus dewasa turut membantu YOBM memahami keperluan pedagogi murid pendidikan khas. Guru-guru pendidikan khas menekankan bahawa kanak-kanak memerlukan kosa kata asas yang ringkas, bergambar dan konsisten. Justeru, kandungan kamus kanak-kanak tidak boleh sekadar disalin daripada versi dewasa, sebaliknya perlu disusun semula secara teliti. Proses penyelidikan dan pembangunan melibatkan kerjasama guru pendidikan khas, pensyarah universiti serta Kementerian Pendidikan, selain kajian terhadap format buku kanak-kanak arus perdana untuk disesuaikan dengan keperluan murid buta,” tambah beliau.

Di masa depan, YOBM menyasarkan penghasilan lebih banyak kamus moden pelbagai bahasa serta pembangunan perpustakaan digital lengkap dengan ciri text-to-speech, buku audio dan modul pembelajaran lain. “Kami mahu literasi Braille menjadi hak, bukan pilihan,” harapnya, berkongsi  visi yayasan untuk membina ekosistem pembelajaran inklusif dan masa depan yang lebih berdikari bagi generasi OKU penglihatan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan