
Dunia hari ini mengenali China sebagai sebuah negara yang kian moden dengan bangunan pencakar langit, teknologi canggih dan pesaing utama ekonomi global. Namun di belakang tabir, negara itu tidak mengorbankan warisan dan tradisi tinggalan tamadun purbanya yang terus bernafas hingga kini.
Realiti itu dapat penulis saksikan ketika menyertai dua forum berturutan - Forum Kerjasama Media Belt and Road (BRI) 2025 dan Forum Kerjasama Media 10+3 ke-11 - di Kunming, Yunnan, anjuran bersama agensi media People’s Daily, Jawatankuasa Wilayah Parti Komunis China Yunnan dan Kerajaan Rakyat Wilayah Yunnan baru-baru ini, yang dihadiri oleh lebih 200 peserta dari 87 negara.
Malah, susunan program yang diatur penganjur, termasuk lokasi, juga menjurus kepada naratif yang China kekal gah dengan ketamadunan yang pernah bertapak di negara itu dan pencapaian dikecapinya sejak membuka pintu kepada dunia, termasuk perkembangan teknologi mereka dari sudut persaingan global.
pic-2
Usai BRI, peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan dibawa melawat lokasi berbeza di wilayah itu. Penulis bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Azlina Aziz serta wakil daripada 20 agensi media ASEAN (Thailand, Brunei, Laos dan Kemboja) dan wakil China, Korea Selatan serta Jepun dibawa meneroka kebudayaan tempatan yang dikumpulkan di Pameran Industri Kebudayaan Kreatif Yunnan di kota Kunming.
Selain pameran dan promosi produk tempatan, ekspo ini memaparkan aspek kebudayaan, kepelbagaian kesenian dan produk dihasilkan oleh kira-kira 25 etnik minoriti yang mendiami wilayah Yunnan.
KE GUIZHOU
Dari pameran itu, kami dibawa menaiki kereta api laju ke Zunyi City di Guizhou. Bergerak dengan kelajuan purata 250 ke 270 kilometer sejam (km/jam), perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam 20 minit itu tidak terasa lama, kerana mata ralit dijamu pemandangan memukau gunung-ganang di luar tingkap. Difahamkan kelajuan tertinggi kereta api itu ialah dalam lingkungan 300 hingga 350 km/jam.
Menurut wakil penganjur, panjang landasan keretapi di Guizhou ialah 4,019 km pada penghujung 2022, termasuk 1,608 km rel kereta api laju. Jaringan perkhidmatan kereta api tersebut menghubungkan 53 negara, sementara perkhidmatan kereta api laju pula menghubungkan 36 negara.
Jaringan pengangkutan yang efektif itu nyata memberi manfaat kepada ekonomi dan kesejahteraan penduduk tempatan.
TINGGALAN SEJARAH KEKAL TERJAGA UNTUK PERINGATAN GENERASI MASA DEPAN
Di Guizhou, kami dibawa ke Tianlong Tunpu, di mana kami ke Anshun Urban Area, iaitu sebuah kubu dari era Dinasti Ming yang masih gagah berdiri.
Menariknya, bukan hanya deretan bangunan lama kekal utuh terjaga dengan baik, malah masih ada penduduk daripada keturunan asal yang menetap di situ, dan mereka masih setia dengan tradisi, termasuk mengenakan pakaian tradisional dalam kehidupan seharian.
pic-3
Dari celah lorong sempit dan pagar batuan yang disusun separas dada, tersingkap kehidupan sebenar mereka - dapur, kebun dan rutin harian - yang berlangsung secara harmoni.
Pengunjung dapat melihat sendiri kehidupan harian mereka dengan anak-anak bermain basikal dan berlari-lari sambil menyanyi, lelaki tua duduk di pangkin depan rumah dan para jiran saling bertegur sapa, sementara di lorong belakang rumah pula terlihat golongan ibu dan nenek yang sibuk memasak menggunakan dapur kayu api.
Ia satu pengalaman yang mengasyikkan, seolah-olah berada di set drama China zaman dahulu. Namun di sebalik suasana “lama” itu terselit kemodenan menerusi kenderaan eletrik keluaran jenama terkenal tempatan yang diletakkan di tepi lorong.
Ada juga kedai dan gerai yang menawarkan produk tempatan seperti kraf daripada manik dan tanduk haiwan, dan makanan serta pakaian tradisional, namun kepadatan jadual - kebetulan ketibaan kami sudah lewat petang - tidak langsung memberi ruang untuk kami membeli-belah di situ.
Selepas makan malam, kami diminta oleh rakan pengiring daripada organisasi media China untuk berehat sahaja kerana lawatan hari seterusnya akan lebih mencabar.
AIR TERJUN TERBESAR
Memang benar. Keesokan harinya kami dibawa mengunjungi Air Terjun Huangguoshu, air terjun terbesar Asia. Untuk berjalan mengelilingi 360 darjah keluasan kawasan air terjun itu sahaja kami mengambil masa kira-kira tiga jam.
Paling melegakan ialah denai di kawasan berbukit itu bersih dan terjaga. Walaupun ada tempat yang lencun terkena biasan air terjun, trek kayu yang tersusun disediakan bagi mengelakkan laluan menjadi licin selain papan tanda peringatan disediakan di beberapa tempat agar pengunjung lebih berhati-hati.
Laluan tertutup merentasi gua disediakan tangga berpagar dan lampu yang berwarna-warni bagi memudahkan perjalanan, dan di beberapa lokasi terdapat juga pangkin untuk pengujung, terutama warga emas, berehat melepaskan lelah.
Walaupun terletak di luar bandar, elemen digital begitu menyerlah dengan semua proses untuk masuk ke kawasan itu dilakukan secara dalam talian.
Kami juga sangat beruntung kerana di sepanjang laluan menuju kawasan air terjun itu ada bauan segar bunga osmanthus yang hanya berkembang setiap 12 bulan, iaitu berkebetulan dengan masa lawatan kami ke sana.
Pepohon osmanthus di kiri dan kanan laluan - seakan-akan pohon bunga tanjung di negara kita - dipenuhi dengan kuntum-kuntum kecil berwarna putih dan kuning.
Menurut jurubahasa kami, bunga ini dianggap bertuah di China dan digunakan semasa upacara suci dan juga perayaan.
WILAYAH DENGAN 30,000 LEBUH RAYA JAMBATAN
Pada sebelah petang pula kami dibawa pula melawat satu lagi mercu tanda baharu di China. Jambatan Huajiang Grand Canyon, jambatan tertinggi di dunia yang pada masa itu belum dibuka secara rasmi. (Jambatan itu dibuka secara rasmi pada 28 Sept 2025).
Sebaik tiba, kami diberi penerangan oleh Ketua Jurutera Institut Penyelidikan Perancangan dan Reka Bentuk Pengangkutan Guizhou, Yang Jian yang menjelaskan pembinaan jambatan itu bermula pada 2020 dan dibarisi kumpulan anak muda dengan purata usia 32 tahun.
pic-4
Kerajaan China, katanya, memberi kepercayaan tinggi kepada kepakaran tempatan terutamanya golongan muda, dan kepercayaan itu nyata tidak sia-sia dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai menerusi pelbagai projek pembinaan termasuk yang dianggap mustahil.
Jelas beliau, di Guizhou sahaja terdapat hampir 30,000 jalinan lebuh raya jambatan dan hampir separuh daripada 100 jambatan tinggi utama dunia terletak di wilayah itu.
Guizhou sebelum ini merupakan antara wilayah paling miskin yang sukar dibangunkan di China berikutan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang.
Menurut Yang, pembinaan rangkaian jambatan itu bukan berpaksikan hasrat untuk menghasilkan produk yang memecahkan rekod dunia, tetapi terpaksa dilaksanakan sedemikian rupa berikutan kekangan kos kerana bentuk muka bumi Guizhou.
Lebih senang dan kosnya kurang jika dibina laluan lurus di kawasan lebih tinggi daripada menggali terowong atau meratakan gunung, jelasnya.
Terdetik rasa kagum apabila melihat tenaga kerja yang majoritinya orang muda namun memikul tanggungjawab dan cabaran yang bukan calang-calang.
Berketinggian 625 meter, lebuh raya jambatan itu menghubungkan daerah Guanling di bandar Anshun dengan daerah Zhenfeng di Wilayah Autonomi Buyei serta Miao Qianxinan di Wilayah Guizhou.
Pembinaannya di kawasan celahan gunung yang tinggi perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap fasa dibina dengan sempurna.
Namun, kejayaan kumpulan jurutera itu menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh tiga tahun membuktikan kecekapan dan kemajuan teknologi tinggi China.
Jambatan Grand Canyon Huajiang itu turut mencatat rekod dari segi jarak rentang utama terpanjang dunia dalam kategori jambatan pergunungan serta jambatan tertinggi dunia di kawasan pergunungan.
Ia satu pengalaman yang mengujakan, berada pada paras ketinggian 625 meter dan di celah ngarai, kami dapat merasai tiupan angin yang agak kuat, manakala di bawahnya pula sungai yang mengalir ternampak begitu kecil.
Hampir sejam di atas jambatan itu kami dibawa pula ke kompleks pelancongan yang dibina seiring dengan pembinaan jambatan tersebut.
Projek bertemakan “Khazanah Negara Berkepentingan Strategik dan Tapak Fosil Zaman Triasik di Guizhou” menggabungkan elemen pemandangan kanyon, geologi triasik, budaya tempatan selain aktiviti rekreasi luar.
Kompleks itu mengetengahkan pelbagai program industri, menggabungkan pelancongan jambatan dan sukan, termasuk koridor landskap, dewan atau ruang tinjau berdinding kaca, kemudahan lif bagi melihat pemandangan serta 20 hartanah komersial yang merangkumi 18 format perniagaan, termasuk pasar makanan, premis runcit dan pameran pertanian.
Penyelidik Institut Sejarah dan Sastera Guizhou merangkap Profesor Universiti Normal Guizhou, Zhang Ziaosong yang ditemui berkata tapak kompleks itu adalah kawasan arkeologi yang mengandungi fosil zaman triasik 250 juta tahun yang lalu.
Tapak Fosil Triasik Guizhou itu kini dalam senarai sementara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO, yang berpotensi untuk disenaraikan sepenuhnya pada 2027.
PERUSAHAAN BERASASKAN TEKNOLOGI, TINGKAT EKONOMI WILAYAH GUIZHOU
Di sebalik kayanya sejarah masa lalu Guizhou, wilayah itu kini dikenali dengan perusahaan yang berasaskan teknologi dan sumber tenaga baharu bertaraf global.
Sebelum berangkat pulang, kami dibawa melawat kilang pemprosesan produk makanan kesihatan terkenal di daerah Puding, iaitu kilang 'Golden Prickly Pear' yang menggunakan 95 peratus tenaga robotik. \
pic-5
Selain itu, kami juga melawat kilang fosforus dan industri kimia berasaskan arang batu di bandar Xiaozhaiba, daerah Xifeng.
Kilang ini juga memperlihatkan penggunaan tenaga kerja manusia yang minimum dan nampaknya lebih bergantung pada penggunaan kecerdasan buatan dalam penghasilan produk seperti plastik, kertas, kotak pembungkusan berkualiti tinggi dan mempunyai pelanggan dari beberapa negara luar.
Pada penghujung lawatan, kumpulan kami berpeluang melawat kilang Geely di Guiyang Geely Automobile Manufacturing Base di mana kami dapat melihat sendiri pemasangan kenderaan eletrik termasuk Proton e.MAS.
Melihat sendiri penghasilan sebuah kenderaan yang mengambil masa sangat singkat - dari rangka kenderaan dipasang tempat duduk, cermin, pendawaian, aksesori, alatan keselamatan hingga kenderaan mampu berfungsi dengan sempurna - sangat-sangat mengagumkan.
Sekali lagi, yang kelihatan hampir kebanyakan pekerjanya terdiri daripada golongan muda, mungkin dalam awal 20-an hingga 30-an.
Sebelum lawatan berakhir, kumpulan kami menyertai forum terakhir yang membincangkan hasil lawatan.
Tuan rumah juga menjelaskan lebih lanjut hala tuju wilayah Guizhou yang turut dipilih sebagai hab teknologi dan pusat data raya. Ia juga menarik syarikat teknologi tersohor dunia seperti Apple, Huawei, Tencent dan YIDUCLOUD.
Pada 2021, hab rangkaian pengkomputeran bersepadu kebangsaan dibina di wilayah itu dan berfungsi sebagai “arteri digital” yang menyalurkan sumber pengkomputeran China dari timur ke barat negara tersebut dalam mempercepatkan pembinaan pusat data.
Hari ini, kawasan baharu Gui'an di Guiyang telah menjadi antara kluster pusat data raya terbesar di dunia. Pendapatan perniagaan awan Huawei misalnya, menyaksikan pertumbuhan tahunan mengagumkan lebih 200 peratus pada 2022.
Nyata sekali perkembangan teknologi di negara itu berlaku dengan sangat pantas. Yang lebih penting, pencapaian itu tidak menguntungkan sepihak, sebaliknya agenda pembangunan negara disambut oleh semua peringkat termasuk golongan mudanya.
Sebelum berangkat pulang, kami dihadiahkan dengan dua buah buku tulisan Presiden Xi Jinping - "Up And Out of Poverty' dan 'Eradicating Poverty'.
Mungkin sedikit-sebanyak buku ini dapat mendedahkan rahsia bagaimana China mampu melakukan perubahan dalam masa yang boleh dikatakan singkat.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial