WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TRUMP UMUM RANCANGAN PEMBINAAN DUA KAPAL PERANG BAHARU

23/12/2025 10:40 AM

WASHINGTON, 23 Dis (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin mengumumkan kelulusan rancangan pembinaan dua kapal perang baharu yang disifatkannya sebagai kapal tentera laut terbesar dan paling berkuasa pernah dibina.

Trump berkata demikian kepada wartawan di Palm Beach, Florida, bersama Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Setiausaha Tentera Laut John Phelan.

“Saya amat berbesar hati mengumumkan bahawa saya telah meluluskan pembinaan dua kapal perang baharu  — yang terbesar pernah kita bina,” katanya.

Menurut Trump, kapal-kapal itu akan menjadi yang terpantas, terbesar dan jauh lebih berkuasa, dengan keupayaan sehingga 100 kali ganda berbanding mana-mana kapal perang yang pernah dibina sebelum ini.

Beliau berkata setiap kapal akan mempunyai sesaran antara 30,000 hingga 40,000 tan atau lebih, dan apabila siap kelak, akan berfungsi sebagai kapal utama armada tentera laut Amerika Syarikat.

“Belum pernah ada kapal seperti ini dibina,” katanya.

Trump turut memaklumkan kapal perang berkenaan akan menjadi antara kapal perang permukaan paling mematikan, dilengkapi senjata hipersonik serta peluru berpandu jelajah berkepala peledak nuklear yang dilancarkan dari laut, yang kini sedang dibangunkan.

“Kami akan memulihkan Amerika sebagai kuasa besar dalam pembinaan kapal. Kami juga akan memastikan Amerika Syarikat memiliki armada tentera laut paling berkuasa di dunia,” katanya.

Sementara itu, Hegseth berkata kekuatan Amerika kini kembali terserlah di pentas global.

Beliau berkata pengumuman pembentukan Armada Emas yang diterajui kapal perang baharu itu menandakan komitmen jangka panjang terhadap kuasa maritim Amerika Syarikat.

Phelan pula berkata kapal perang yang dinamakan USS Defiant, akan menjadi kapal perang terbesar, paling mematikan, serba guna dan paling unggul dari segi reka bentuk di perairan dunia.

Menurutnya, buat pertama kali dalam beberapa generasi, Amerika Syarikat akan mempunyai cabang baharu dalam keupayaan pencegahan nuklear apabila kapal perang "kelas Trump" membawa peluru berpandu jelajah berkepala peledak nuklear yang dilancarkan dari laut.

“Apabila ‘USS Defiant kelas Trump’ muncul di kaki langit, pihak lawan akan mengetahui bahawa kemenangan Amerika di laut adalah tidak dapat dielakkan,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan