WILAYAH - SELATAN > BERITA

LAUT PENGKALAN SUNGAI SEKAWANG PERMATA TERSEMBUNYI BUAT KAKI PANCING

23/12/2025 07:27 PM

PORT DICKSON, 23 Dis (Bernama) -- Pertandingan Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 di Laut Pengkalan Sungai Sekawang, Batu 15 di sini pada Ahad ini, dijangka menarik lebih 500 pemancing sekali gus merancakkan promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan Datuk Mohd Faizal Ramli berkata pantai itu merupakan permata tersembunyi pelancongan yang kaya dengan biodiversiti, dikelilingi landskap semula jadi dengan perairannya menjadi habitat pelbagai spesies ikan.

Beliau berkata inisiatif penganjuran kali pertama itu juga bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan TMNS 2026.

“Kombinasi dasar berpasir, berlumpur dan struktur berbatu menjadikan kawasan ini sebagai lubuk utama serta menarik kehadiran pemancing pantai dari seluruh negara dengan terdapat pelbagai jenis ikan seperti siakap, senangin, pari, gelama, kerapu, sembilang dan duri.

“Penganjuran ini juga membuka peluang pembangunan ekonomi setempat dan memperkenalkan kawasan luar bandar sebagai produk pelancongan berasaskan alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faizal berkata kerajaan negeri giat mengenal pasti lokasi permata tersembunyi seperti Batu 15 untuk diketengahkan melalui kempen TMNS 2026 yang memberi penekanan kepada ekopelancongan, warisan dan rekreasi keluarga.

Beliau berkata Port Dickson yang terkenal dengan keindahan pantai, komuniti mesra serta kekayaan hasil laut menjadikan tempat itu sesuai untuk aktiviti memancing, perkhemahan, fotografi dan pelancongan berkonsepkan alam semula jadi.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai lebih RM25,000 dengan juara menerima RM10,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM1,000.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan