WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES PETROL RON95 DISYAKI TERCEMAR: KPDN SARAWAK BUKA KERTAS SIASATAN

26/12/2025 05:58 PM

KUCHING, 26 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, susulan kes tular melibatkan minyak petrol RON95 disyaki bercampur diesel atau air di Stesen Petronas Samarahan Expressway di Kota Samarahan, baru-baru ini.

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan tular di media sosial, berkaitan insiden berkenaan yang didakwa telah menjejaskan beberapa pengguna.

“Pada 24 Dis lepas kira-kira jam 2.30 petang, sepasukan empat pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit, susulan aduan yang diterima daripada laman Facebook Sarawak Roads Update.

“Satu Enquiry Paper (EP) telah dibuka di bawah Seksyen 5 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 201, Pelanggaran Seksyen 6 (1)(d), daripada kandungan berkenaan dengan apa-apa barang-barang atau bahagian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Matthew berkata tindakan pantas telah dibuat oleh KPDN Sarawak dalam mengambil tindakan ke atas stesen minyak yang melanggar peraturan yang ditetapkan agar hak pengguna dapat dilindungi. 

Matthew berkata mana-mana peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan akta berkenaan, termasuk denda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berulang.

“Bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengedar dan peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan salah laku aktiviti perniagaan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan