WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDIVIDU DAKWA DIPERDAYA WANITA MENYAMAR PEGAWAI NSRC - PENGARAH JSJK

26/12/2025 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Seorang individu mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), sebelum wang dalam akaun banknya dikeluarkan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mangsa membuat laporan pada Rabu lepas setelah menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan nombor telefonnya disalahgunakan untuk penyebaran pautan palsu bantuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu lain yang mengaku  pegawai polis dan mendakwa dia terlibat kes pengubahan wang haram, selain mengaitkan namanya  sebagai pemilik akaun keldai susulan penahanan seorang individu dalam kes berkenaan.

“Pada 4 Dis lepas, individu terbabit telah mengarahkan mangsa supaya meletakkan kad ATM miliknya di suatu tempat untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.

“Selepas menyerahkan kad ATM serta nombor PIN, mangsa menyedari wang dalam akaunnya telah berkurangan dan dikeluarkan tanpa pengetahuan serta kebenaran mangsa secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata NSRC yang ditubuhkan pada Okt 2022 ialah pusat panggilan yang beroperasi secara komunikasi sehala, iaitu hanya menerima panggilan daripada orang awam dan tidak akan menghubungi individu melalui telefon atau menggunakan aplikasi pesanan seperti WhatsApp.

“Sebarang panggilan atau mesej yang mengaku mewakili NSRC adalah penipuan semata-mata,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak menjalankan siasatan hanya melalui panggilan telefon, sebaliknya pegawai penyiasat akan memanggil pihak yang ingin disiasat hadir ke pejabat pegawai penyiasat kes bagi siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan