WILAYAH - TIMUR > BERITA

PASANGAN ITALI BERJAYA DIKELUARKAN DARI TAMAN NEGERI ENDAU ROMPIN SUSULAN BANJIR

27/12/2025 04:52 PM

KUANTAN, 27 Dis (Bernama) -- Pasangan suami isteri warga Itali yang bercuti di Taman Negeri Endau Rompin berjaya dipindahkan dengan selamat hari ini selepas terputus hubungan berikutan laluan masuk ke kawasan berkenaan dinaiki air setinggi dua meter.

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa seorang wanita berusia 42 tahun, Giulia, dan suaminya Leonardo, 43, telah mendaftar masuk ke taman negeri itu pada 25 Dis lepas.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan kira-kira 9.20 pagi tadi daripada ejen syarikat pelancongan bahawa jalan masuk ke Taman Negeri Endau Rompin sejauh 600 hingga 800 meter, tidak dapat dilalui akibat banjir sejak pagi tadi, sekali gus menyukarkan usaha membawa keluar pasangan berkenaan.

“Susulan itu, dua anggota daripada Balai Polis Rompin telah diarahkan ke lokasi bagi mengesahkan kejadian bersama empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharif Shai berkata mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 1.20 tengah hari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin sebelum diserahkan kepada ejen syarikat pelancongan. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan