WILAYAH - TENGAH > BERITA

POLIS TAHAN PENGASUH TASKA BERKAITAN DAKWAAN DERA BAYI

28/12/2025 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang pengasuh dipercayai terlibat kes penderaan melibatkan beberapa bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan di sebuah taska di Alam Indah, Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata wanita tempatan berusia 26 tahun itu ditahan pada 16 Dis susulan laporan diterima pihaknya.

“Sebanyak tiga laporan diterima berkaitan kes ini dan siasatan mendapati hanya seorang sahaja suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) a Akta Kanak-Kanak 2001 dan dilakukan oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan anaknya berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar pengasuh di taska terbabit.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan ibu bapa lain selain terdapat dakwaan beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di situ.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan