WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAIWAN KESAYANGAN SEBAGAI PELENGKAP BAHTERA PERKAHWINAN

29/12/2025 10:09 AM


From Nina Muslim

Hingar-bangar suasana pameran nyata tidak mengganggu mereka dengan ada yang tenang “bertenggek” di atas beg galas, “berlingkar” di bahu si pemilik kalaupun tidak nyenyak dalam pelukan atau kereta sorong, ketika dibawa berjalan-jalan meninjau Ekspo Kucing 2025  di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Berlangsung pada Oktober lalu, kelibat “anak bulus” - panggilan kebanyakan pemilik terhadap kucing kesayangan mereka - dilihat malah mengatasi bilangan kanak-kanak yang datang ke ekspo bersama-sama dengan ibu bapa masing-masing. 

Di Malaysia, memiliki haiwan kesayangan adalah satu trend popular dengan jumlah pemilikan kian meningkat. Di laman sesawang, penganjur Ekspo Kucing 2025 melaporkan peningkatan bilangan pempamer dan peniaga di ekspo itu seiring dengan pertambahan pengunjung. 

pic-2

Menurut Kadence International, sebuah syarikat penyelidikan pasaran, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira US$500 (RM2,039.50) setahun untuk haiwan kesayangan, sementara Laporan Pengguna Malaysia 2023 oleh Standard Insights menyatakan kucing merangkumi hampir 80 peratus daripada keseluruhan belaan kesayangan di negara ini.

Bagi Sumitha Shaanthini Kishna, “ibu” kepada dua ekor anjing dan seekor kucing, dapatan itu mencerminkan situasi hari ini.

“Apabila kadar kelahiran menurun, pemilikan haiwan kesayangan meningkat. Saya sebahagian daripada trend itu,” kata peguam hak asasi manusia berusia 51 tahun tersebut sambil ketawa.  

Sepertimana situasi semasa di seluruh dunia, jumlah kelahiran di Malaysia mengalami penurunan dengan hanya 1.4 bayi dilahirkan oleh wanita berusia bawah 20 tahun dalam tempoh suku pertama 2025, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Negara ini juga berada di persimpangan - populasi kian menua sedangkan kadar kesuburan merosot, mencerminkan peningkatan kemakmuran Malaysia.

Kesemua ciri yang disebutkan itu menepati kes Sumitha. Selain menguruskan anak bulus, dia juga menjaga ibu saudaranya yang telah berusia dan menghidap demensia. Justeru, memiliki anak bersama-sama dengan pasangannya Kuganeson “Neson” Poologasingam, 53, dilihat akan “membebankan lagi” keadaannya.

Ada yang menganggap golongan ini sengaja memilih untuk membela haiwan kesayangan daripada memiliki anak, namun tanggapan itu mungkin kurang tepat, kerana kajian menunjukkan peliharaan kesayangan mengisi “kekosongan” (kerana ketiadaan anak)  bukan memacu kemerosotan kadar kesuburan. Penyelidikan terbaharu turut mendapati haiwan kesayangan berpotensi membantu memperkukuh ikatan perkahwinan dan keluarga.

 

SUSAH DAN SENANG

“Dalam banyak-banyak penjelasan popular, peningkatan haiwan peneman menarik perhatian umum, sering digambarkan sama ada sebagai pengganti kepada anak atau pelengkap dalam pembentukan keluarga,” ulas penulis kertas penyelidikan bertajuk ‘Cats, Dogs and Babies: Quasi-Experimental Evidence on Substitutes or Complements’ daripada kajian Linked Administrative Records [https://papers.ssrn.com/sol3/papers.cfm?abstract_id=56], yang diterbitkan pada Oktober 2025. 

Mereka berhujah pandangan konvensional itu mungkin tidak betul, setidak-tidaknya di Taiwan yang mempunyai kadar kelahiran antara terendah di dunia. Berdasarkan analisis pendaftaran jutaan haiwan dan kelahiran di Taiwan, mereka mendapati pasangan yang memelihara haiwan kesayangan, terutamanya anjing, lebih cenderung mempunyai anak berbanding pasangan yang tidak memiliki belaan kesayangan.  

pic-3

Bukan sebagai pengganti anak, penyelidik sebaliknya mendapati haiwan kesayangan selalunya hadir mendahului anak dan berfungsi sebagai “keluarga pemula”. Para penyelidik menyimpulkan pemilikan haiwan kesayangan sebagai satu “latihan berisiko rendah” buat pasangan yang berkira-kira untuk mempunyai anak, iaitu menguji kemampuan menjaga, tanggungjawab dan pengorbanan sebelum benar-benar memiliki anak.

Selain anjing yang memerlukan permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan, pemeliharaan haiwan kesayangan seperti kucing dan lain-lain di Malaysia tidak perlu didaftarkan. Justeru agak sukar untuk menentukan sama ada situasi di Taiwan itu terpakai di negara ini.

Dapatan kajian itu diperakui oleh Sharifah Adrinni yang bekerja dalam industri minyak dan gas, serta tunangnya Afieq Danial, yang menganggap kucing belaan sebagai ahli keluarga yang membawa kegembiraan dan menuntut pengorbanan. Pasangan ini mempunyai lima ekor kucing yang pada masa ini tinggal bersama-sama dengan Sharifah di pangsapurinya.

Mereka baru sahaja kehilangan seekor daripadanya - Bresco yang berusia enam tahun. Kucing itu mati selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital veterinar di Ampang, Selangor. Bagi menampung kos rawatan Bresco, mereka menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk perkahwinan mereka.

Berkongsi kisahnya dengan Bernama, Sharifah berkata ibu bapanya menganggap dia “kurang waras” kerana sanggup membelanjakan sejumlah besar wang untuk seekor kucing. Namun bagi pasangan itu, perkara tersebut bukan sesuatu yang perlu mereka pertimbangkan.  

“Ia ‘anak sulung’ kami,” katanya dengan mata yang berkaca-kaca. “ Ia segala-galanya bagi saya.”

Afieq bersetuju, dan menyatakan kucing-kucing itu adalah “ahli keluarga dan bukannya satu beban”.

Sharifah berkata memelihara kucing bersama-sama dengan tunangnya juga adalah sebagai persediaan untuk mereka melayari bahtera perkahwinan dan anak-anak. Menurutnya, kesukaran yang ditempuhi itu juga memberi mereka peluang melihat komitmen masing-masing dalam menjalani kehidupan berumah tangga kelak.   

Kajian di Taiwan itu turut mendapati haiwan kesayangan memainkan peranan penting sebagai sokongan emosi dan sosial bagi seseorang yang sedang beralih ke rutin baharu selepas mengharungi perubahan besar dalam kehidupan seperti perceraian atau kematian pasangan atau anak.

 

KEHIDUPAN MODEN 

Kajian sebelum ini menemukan faedah dalam pemilikan haiwan kesayangan termasuk mengurangkan tahap tekanan si pemilik dan meningkatkan paras hormon “gembira” seperti oksitosin dan serotonin, merendahkan tekanan darah dan degupan jantung, mengurangkan kemurungan, kerisauan melampau dan kesepian.

Dalam kes Sumitha dan Neson, haiwan kesayangan mereka - Casper dan Bleu (anjing) serta Kitty si kucing - adalah “anak-anak” mereka, dan mereka tidak mempunyai rancangan untuk menambah anak versi manusia.

pic-4

“Saya hilang minat untuk mempunyai anak ketika berumur 30-an. Saya memang merancang untuk tidak mempunyai anak walaupun seorang,” katanya.

Sumitha tidak melihat keputusannya itu sebagai “mementingkan diri”, sebaliknya berpendapat langkah tersebut sebagai keputusan yang bermoral kerana, menurutnya, anak memerlukan komitmen masa dan kewangan yang tidak mampu mereka penuhi. 

“Saya juga tidak bersedia menanggung tanggungjawab tersebut…terdapat banyak pengaruh lain juga (seperti) media sosial, sekolah, kawan sebaya dan lain-lain yang seumpama (yang mendorong keputusan itu).”

Namun ada satu perkara dalam kajian di Taiwan yang Sumitha dan Neeson boleh kaitkan dengan kehidupan mereka, iaitu memiliki haiwan kesayangan menguatkan hubungan mereka selain menyediakan sokongan emosi.

pic-5

Bapa Sumitha meninggal dunia pada 2023 akibat kanser, dan Kitty yang merupakan kucing mendiang ayahnya, menjadi sumber yang menenangkannya.  

“Ia menjadi penghubung saya dengan ayah,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan