WILAYAH - TIMUR > BERITA

KELANTAN RED WARRIOR TIDAK TERLIBAT ISU TUNGGAKAN GAJI POL CORPAS

29/12/2025 05:15 PM

KOTA BHARU, 29 Dis (Bernama) -- Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) menegaskan kelab itu tidak terlibat dengan isu tuntutan tunggakan gaji yang dibuat oleh bekas Penolong Jurulatih Kelantan FC Pol Corpas kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

KRW FC dalam kenyataan hari ini memaklumkan penolong jurulatih import itu perlu menuntut tunggakan gaji daripada bekas kelabnya sebelum ini.

“Pol Corpas yang berkhidmat dengan kelab itu pada musim 2022/2023 perlu membuat tuntutan atau apa jua perkara berbangkit dengan pihak pengurusan bekas kelabnya yang masih wujud sehingga ke hari ini kerana KRW FC ketika ditubuhkan pada 2024, jelas tidak terlibat dengan permasalahan itu.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan dengan mana-mana kelab sebelum ini kerana kami telah memberi penjelasan rasmi kepada FIFA dan diterima sehingga kami (KRW FC) boleh mendaftarkan pemain untuk beraksi pada musim ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan isu berkenaan timbul semula selepas pihaknya mahu mendaftarkan pemain import baharu sempena musim perpindahan kedua yang telah dibuka pada musim ini.

“Kami mengesahkan bahawa KRW FC telah dikenakan sekatan perpindahan FIFA atau ‘FIFA Transfer Ban’ sejak 19 Dis lepas sehingga menyebabkan beberapa urusan kelab, terutama untuk mendaftarkan pemain baharu tergendala.

“Sekatan ini berikutan laporan daripada Pol Corpas dan peguam beliau dengan cubaan mengaitkan KRW FC dengan bekas kelabnya, menyebabkan FIFA mengambil keputusan menjatuhkan hukuman itu,” menurut kenyataan itu.

KRW FC memaklumkan pihak pengurusan kelab telah mengambil alih daripada pihak pengurusan terdahulu bermula Ogos 2025, dan perkara itu menunjukkan pentadbiran kelab adalah 100 peratus berbeza serta tidak terbabit dengan kelab yang menjadi punca kepada laporan Pol Corpas.

“Pihak pengurusan KRW FC mengambil maklum isu yang tular berkaitan sekatan perpindahan pemain oleh FIFA, selain meminta semua pihak, terutama penyokong setia kami untuk mendapatkan makluman rasmi daripada pihak kelab jika ada isu yang tular. 

“Kami juga menyeru supaya terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada KRW FC agar kejayaan terus mengiringi kelab dan pasukan sehingga ke penghujung musim ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan