
Malaysia menyasarkan untuk menambah baik kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah daripada 57 sekarang ke kelompok 25 terbaik daripada 180 negara dalam tempoh tujuh tahun lagi pada 2033.
Bahagian kedua daripada laporan bersiri tiga artikel yang mengupas gejala rasuah di negara ini menyoroti punca aktiviti itu berlaku dan syor penambahbaikan yang boleh dilakukan.
Pakar yakin Malaysia mampu merealisasikan matlamat berada di kelompok 25 terbaik daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 sekiranya satu reformasi besar-besaran dilakukan dalam pelaksanaan undang-undang cegah jenayah rasuah.
Pensyarah kanan di Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam Dr Mohd Rahim Khamis berkata reformasi yang dimaksudkan adalah dari segi keterlibatan agensi-agensi yang berkenaan, tempoh masa mengendalikan sesuatu kes rasuah serta sikap neutral dan adil.
"Dengan adanya pembaharuan politik sekarang yang amat tegas dalam menangani pelbagai isu termasuk gejala rasuah, berkemungkinan segala apa yang dirancang akan dapat dilaksanakan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sekalipun mengakui sukar, beliau percaya pembanterasan rasuah di negara ini tidak mustahil.
“Di dunia, Malaysia di ranking ke-57, namun dalam kalangan negara-negara ASEAN kita di tempat kedua selepas Singapura.
"Menerusi situasi ini, mungkin kita perlu belajar dan mengaplikasi apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Singapura dalam membendung rasuah daripada terus berleluasa. Tidak cukup hanya melakukan pelbagai kempen kesedaran memerangi rasuah sekiranya usaha ini seperti melepaskan batok di tangga," katanya.
CONTOHI TIGA NEGARA TERATAS
CPI 2024 merekodkan Denmark, Finland dan Singapura sebagai negara teratas, atau paling bersih.
Mengulas lanjut, Mohd Rahim berkata negara-negara terbabit melaksanakan pelbagai langkah untuk berada di kedudukan tertinggi CPI, seperti memastikan keterlibatan komuniti, ketelusan sistem penyampaian serta ketegasan hukuman.
pic-2
"Kesemua aspek ini perlu ada dalam memastikan CPI berada di tahap yang tinggi. Buktinya adalah negara-negara seperti Denmark, Finland dan Singapura, di mana sekiranya kita membuat kajian, negara-negara ini dapat mengawal gejala rasuah dengan merangkumkan kesemua aspek, seperti mengukuhkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat, memperketat penguatkuasaan, melaksanakan hukuman yang tegas serta mengamalkan budaya kerja dan pentadbiran yang cekap dan efektif.
"Mungkin model seperti ini perlu dikaji dan diaplikasi dalam sistem di Malaysia. Tidak salahnya untuk kita mengaplikasi sesuatu model yang telah digunakan oleh negara-negara tersebut selagi ia tidak bercanggah dengan konteks setempat. Model yang baik kita perlu ikut, model yang bercanggah kita buang. Ini semua untuk memastikan gejala rasuah dapat dibendung daripada terus bermaharajalela dalam persekitaran kita di Malaysia," katanya.
Memuji usaha yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah di negara ini, beliau bagaimanapun berpendapat agensi itu memerlukan sokongan dan bantuan komuniti.
"Selain itu, kerjasama antara agensi yang terlibat dalam membendung gejala rasuah juga perlu diperkukuhkan lagi, kerana dengan adanya keterlibatan pelbagai agensi dalam mengawal gejala ini sudah pasti suatu hari nanti permasalahan ini dapat dikawal walaupun tidak secara menyeluruh," katanya.
Mengulas punca rasuah, Mohd Rahim berpendapat perlu ada kajian khusus bagi mengenal pasti pendorong sebenar gejala rasuah, namun tidak menolak gaji yang rendah sebagai antara faktor utama.
"Pada pandangan saya, antara faktor yang menyumbang ke arah itu adalah pendapatan. Kita boleh bayangkan dengan kos sara hidup makin meningkat, ditambah dengan kemahuan yang tidak boleh dikawal, sudah pasti ada kecenderungan untuk seseorang terjerumus ke dalam perbuatan rasuah.
"Pendapatan yang kecil tapi mempunyai selera yang besar akhirnya mendorong mereka melakukan rasuah. Perkara ini tidak akan berlaku seandainya seseorang itu pandai mengukur baju di badan sendiri dan bijak mengawal sumber kewangan. Janganlah wang yang mengawal kita tetapi biarlah kita yang mengawal wang," katanya.
MENGAPA TERJADI?
Mengulas lanjut, Mohd Rahim berkata gejala rasuah juga boleh terjadi apabila lemahnya tadbir urus sesebuah organisasi serta pengawasan dalaman. Beliau berkata lemah tadbir urus merujuk lemahnya ketelusan, akauntabiliti, integriti dan etika, kecekapan dan keberkesanan, serta penyertaan sesebuah organisasi atau agensi dalam menguruskan operasi mereka.
"Kelima-lima aspek tadbir urus ini perlu dikawal selia dengan baik bagi memastikan pengurusan yang bertanggungjawab, beretika, mesra pelanggan dan sebagainya. Ini penting kerana ia boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat awam terhadap sesebuah organisasi atau agensi tersebut," katanya.
pic-3
Selain itu, pakar kewangan tersebut berkata pengaruh politik juga boleh menyumbang kepada gejala rasuah, iaitu apabila ada pemimpin politik menggunakan kuasa atau hubungannya untuk mempengaruhi sesebuah agensi atau organisasi dalam membuat keputusan.
"Situasi sebegini tidak sepatutnya terjadi, tetapi kita juga tidak boleh menidakkan perkara seperti ini terjadi. Banyak kes-kes rasuah yang dilaporkan melibatkan mereka yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat," katanya.
Berbicara tentang ketelusan kes-kes rasuah, sama ada ditangani sebaiknya atau masih terdapat kelompongan, Mohd Rahim berkata masih ada ruang untuk aspek itu dipertingkat kerana ada kes yang dilihat oleh umum sekadar “main wayang”.
“Tidak perlu diperkatakan kes-kes rasuah yang bagaimana, tetapi kita boleh lihat adakala kes tidak dikendalikan dengan baik, seperti ditutup tanpa tindakan susulan,” katanya, menambah kadangkala berlaku kebocoran maklumat yang sepatutnya dirahsiakan atau desas-desus campur tangan politik.
RASUAH PENGARUHI EKONOMI
Mengulas lanjut, Mohd Rahim berkata rasuah yang tidak ditangani akan menjejaskan pertumbuhan negara kerana kehilangan pelaburan langsung asing (FDI) yang memacu enjin pertumbuhan ekonomi.
Jelasnya, CPI dan Ease of Doing Business (EODB - kemudahan menjalankan perniagaan) memainkan peranan dalam mempengaruhi aliran FDI kerana kedua-duanya cerminan kepada ketegasan kerajaan berhubung kegiatan rasuah.
"Sudah pasti tahap prestasi seperti CPI atau EODB boleh menjejaskan daya saing negara bersama negara-negara besar lain, terutama negara-negara yang kadar rasuahnya adalah rendah atau CPI mereka berada pada tahap yang tinggi.
"Skor CPI yang rendah akan mempengaruhi ranking di EODB kerana pelabur melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai dasar tidak jelas dalam mengendalikan kes-kes rasuah. Para pelabur akan melihat negara sebagai ‘berisiko tinggi’ dalam menguruskan pentadbiran kewangan negara," katanya.
Beliau berkata apabila situasi berkenaan terjadi, maka para pelabur lebih yakin untuk membuat pelaburan di negara lain seperti Singapura, kerana dengan kedudukan CPI yang tinggi para pelabur berasakan negara tersebut mempunyai dasar kewangan yang jelas serta tadbir urus korporat yang baik.
"Ketidakjelasan dasar yang dilaksanakan dalam menangani isu rasuah sudah pasti akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur asing. Dengan dasar yang jelas dalam menangani sesebuah kes dapat membuktikan keseriusan kerajaan dalam menyelesaikan kes-kes tersebut seterusnya menambah keyakinan para pelabur asing terhadap hala tuju dan dasar negara.
pic-4
"Sebagai pelabur, sudah pasti mereka memilih untuk membuat pelaburan di negara-negara dengan sistem yang stabil serta dasar monetari yang jelas," katanya.
Gejala rasuah juga bermaksud berlaku ketirisan kewangan sekali gus meningkatkan kos, dan perkara tersebut katanya boleh dilihat apabila terdapat banyak projek mega yang dirancang terbengkalai menjadi projek gajah putih, selain projek-projek dengan kos yang tidak masuk akal.
"Pembangunan yang dirancang adalah untuk kemudahan rakyat tetapi sebaliknya berlaku. Duit sudah dibayar kepada mereka yang bertanggungjawab tetapi projek tidak disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” ujarnya.
JANGAN NORMALISASI RASUAH
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata antara punca rasuah berleluasa adalah kerana istilah tersebut kerap dikaitkan dengan “tolong-menolong” yang berakhir dengan pemberian balasan sebagai menghargai bantuan yang diterima.
“Misalnya, dalam persekitaran kerja tertentu, tidak kira di agensi awam ataupun swasta, wujud kecenderungan untuk mewajarkan salah laku itu (rasuah) sebagai perkara biasa. Amalan menerima balasan, tidak kira hadiah, wang dan sebagainya, cuba dinormalisasikan demi meredakan rasa bersalah. Malah ada yang beranggapan bahawa jika pihak atasan melakukan perkara sama, perbuatan tersebut boleh diterima.
“Tanggapan ini secara tidak langsung memperlihatkan perbuatan memberi dan menerima rasuah itu adalah rasional, dan keadaan inilah yang akan memperluas budaya rasuah dalam organisasi,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Shamsinor berkata kelemahan kepimpinan atasan yang tidak cakna serta tidak ambil tahu tentang kegiatan rasuah yang berlaku, turut melemahkan usaha pencegahan di peringkat organisasi.
Beliau berkata situasi tersebut turut menyebabkan sistem pengurusan serta penguatkuasaan dalaman gagal berfungsi secara menyeluruh, sekali gus menjejaskan usaha mengesan dan memantau kes-kes rasuah.
pic-5
“Perbuatan ini tidak wajar dinormalisasikan melalui tafsiran yang longgar. Sebaliknya, aspek pencegahan perlu diperkasakan melalui pendidikan, integriti, kawalan dalaman yang lebih ketat dan budaya kerja berasaskan akauntabiliti.
“Tanpa usaha berterusan untuk mengubah minda dan budaya kerja, gejala ini dibimbangi akan terus berulang walaupun peraturan dan kerangka undang-undang telah tersedia,’’ katanya.
Pandangan senada turut disuarakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn, Dr. Nazreena Mohammed Yasin yang berkata sebagai ‘pintu masuk utama’ rakyat kepada perkhidmatan negara, agensi kerajaan memikul tanggungjawab besar dalam memelihara integriti.
Beliau berkata sebarang salah laku berkaitan rasuah, walaupun melibatkan kesalahan kecil, berpotensi mencetuskan kesan domino yang melemahkan kepercayaan awam, menjejaskan penyampaian perkhidmatan dan sekali gus menghambat pembangunan nasional negara.
“Situasi ini turut membentuk persepsi rakyat yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh naratif media, lebih-lebih lagi dalam era digital masa kini. Kes yang berskala kecil sekali pun mudah menjadi tular. Impaknya ialah wujud generalisasi bahawa salah laku termasuk rasuah, kerap berlaku terutamanya jika membabitkan penjawat awam.
“Walaupun tidak semua pendedahan mencerminkan realiti keseluruhan kes, liputan media yang berterusan berupaya mengukuhkan lagi tanggapan bahawa rasuah berlaku secara berleluasa. Keadaan ini menuntut komunikasi strategik yang lebih berkesan oleh agensi berkaitan, termasuk penyampaian maklumat berhubung tangkapan dan pendakwaan, bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat,” katanya.
TEKAD KERAJAAN
Mengulas lanjut, Nazreena berkata meskipun jenayah rasuah dilihat membimbangkan susulan peningkatan penahanan dan pendakwaan oleh agensi penguatkuasaan, situasi itu pada masa sama mencerminkan komitmen serta pendirian tegas kerajaan dalam usaha menoktahkan gejala rasuah.
Menurut beliau, kesungguhan itu jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan keutamaan tinggi terhadap agenda pembanterasan rasuah, khususnya membabitkan kes berskala besar yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
pic-6
“Kita boleh melihat kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini yang memaklumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk membersihkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, termasuk yang melibatkan kes individu berprofil tinggi.
“Menurut beliau, komitmen tersebut menuntut ketegasan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius isu rasuah dan beriltizam untuk membanterasnya hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
Mengulas lanjut, Nazreena berkata rasuah kini bersifat sistemik dan memerlukan gabungan tindakan tegas, penambahbaikan penguatkuasaan serta perubahan budaya kerja sebagai usaha menyeluruh dalam mengekang rasuah.
Tambahnya, selain itu peranan aktif SPRM yang bukan sahaja menumpukan pada pengesanan pelaku rasuah, malah berusaha memastikan individu terbabit tidak lagi dapat menikmati harta yang diperoleh secara tidak sah termasuk melalui tindakan memufliskan mereka yang disifatkan sejajar dengan prinsip “asset recovery” dalam undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam memastikan hasil daripada kegiatan rasuah dapat disita sepenuhnya, sekali gus memulangkan setiap sen aset negara yang diseleweng kembali kepada rakyat.
“Ini akan memastikan pelaku bukan sahaja dihukum, tetapi tidak dapat menikmati hasil salah laku yang mereka lakukan. Saya melihat komitmen ini sebagai perkembangan positif dalam landskap antirasuah negara.
‘’Meskipun ada keutamaan diberikan kepada kes berprofil tinggi, kes berprofil rendah tetap tidak diketepikan oleh SPRM. Pendekatan ini mencerminkan prinsip penguatkuasaan yang tidak memilih bulu dalam mengekang jenayah rasuah, sekali gus menyokong usaha negara untuk mencapai sasaran kedudukan 25 teratas terbaik dalam CPI menjelang 2033,’’ katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial