WILAYAH - UTARA > BERITA

MAYAT WANITA WARGA EMAS DITEMUKAN TERAPUNG DI TAMAN TASIK TAIPING

30/12/2025 04:01 PM

IPOH, 30 Dis (Bernama) -- Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung berhampiran tebing tasik di Taman Tasik Taiping, di Taiping pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata anggota operasi berjaya membawa naik mayat wanita berusia 73 tahun itu dengan menggunakan peralatan tali.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi tamat sepenuhnya pada 9.55 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata wanita warga tempatan itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kad pengenalannya turut dijumpai bersamanya.

Beliau berkata siasatan awal turut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran ditemukan pada tubuh mangsa.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kematian termasuk mengambil keterangan daripada saksi di lokasi kejadian serta menghubungi ahli keluarga mangsa. Mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Nasir berkata orang ramai  yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil menghubungi Balai Polis Taiping di talian 05-8291222.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan