WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JEJU PERKASA MOBILITI UDARA BANDAR TINGKATKAN PELANCONGAN MAMPAN

30/12/2025 10:56 AM

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Berlatarbelakangkan gunung berapi, pantai yang mempesona dan landskap yang tersenarai dalam warisan UNESCO, Pulau Jeju di Korea Selatan kini meninjau ruang udara merangka hala tuju baharu ke arah pelancongan mampan dan mobiliti masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada visi Pulau Bebas Karbon 2030, Wilayah Autonomi Khas Jeju memperkenalkan Mobiliti Udara Bandar (UAM) berorientasikan pelancongan bagi mengurangkan pelepasan karbon serta mengurangkan kesesakan.

Inisiatif ini menawarkan kepada penduduk dan pelawat satu kaedah rendah karbon untuk menikmati keindahan Jeju dari ruang udara, sekali gus meletakkan pulau itu sebagai tapak perintis serantau bagi penerbangan mesra alam.

 

Menghubungkan Pelancongan Pelayaran dengan Laluan Udara

Gabenor Wilayah Autonomi Khas Jeju, Oh Young-hun, berkata pulau itu berhasrat membentuk paradigma baharu dalam sektor pelancongan dengan memanfaatkan keunikan alam semula jadi serta kelebihan infrastrukturnya.

Seiring pertumbuhan pesat pelancongan kapal persiaran, beliau berkata UAM dilihat sebagai penyelesaian bagi meningkatkan kecekapan masa dan pengalaman pelawat, khususnya mereka yang mempunyai tempoh lawatan singkat, di samping menawarkan pengalaman pelancongan udara yang unik.

“Menerusi inisiatif ini, daya saing pelancongan Jeju serta nilai jenamanya di peringkat global dijangka meningkat dengan ketara,” katanya dalam satu temu bual bertulis bersama Bernama.

Sehingga Oktober lalu, Jeju menerima lebih 11.5 juta pelawat, termasuk 1.95 juta pelancong asing, menurut data Platform Perkhidmatan Data Besar Pelancongan Jeju.

Sebagai pemegang lima pengiktirafan UNESCO, Jeju merancang untuk memulakan operasi penerbangan pelancongan udara berhampiran Pelabuhan Seongsan, dengan pemandangan Gunung Seongsan Ilchulbong sebagai tarikan utama.

Apabila pembinaan vertiport di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Jungmun siap kelak, perjalanan merentasi pulau itu dijangka dapat dilakukan dalam tempoh kurang satu jam, sekali gus mengurangkan kesesakan dan meningkatkan ketersambungan pelancongan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengenalan aktif UAM sebagai mod pengangkutan mesra alam dijangka merangsang ekonomi tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

 

Membangunkan Ekosistem UAM Jeju

Pasaran UAM global dianggarkan bernilai kira-kira US$8 trilion menjelang 2050, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian mobiliti generasi baharu.

Dalam konteks ini, Jeju dipilih sebagai tapak ujian ideal bagi UAM berikutan keadaan ruang udara yang sesuai, persekitaran frekuensi radio yang stabil serta permintaan tinggi terhadap mobiliti serantau dan pelancongan.

Pada September 2022, kerajaan wilayah Jeju melancarkan projek perintis UAM melalui memorandum persefahaman dengan K-UAM Dream Team, sebuah konsortium yang merangkumi Korea Airports Corporation, SK Telecom dan Hanwha Systems.

Melanjutkan usaha itu, Jeju pada Oktober lalu memuktamadkan Pelan Induk Pembinaan Vertiport UAM yang mengenal pasti Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, Pusat Konvensyen Antarabangsa Jungmun dan Pelabuhan Seongsan sebagai lokasi utama, dengan jumlah pelaburan dianggarkan sekitar KRW85 bilion.

Selain itu, Jeju turut dipilih pada Ogos lalu sebagai tapak projek perintis UAM peringkat nasional oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, dengan pembinaan dijangka siap menjelang 2028 sebelum beralih kepada operasi komersial sepenuhnya.

 

Memacu Penerbangan Rendah Karbon

Memandangkan sebahagian besar pelawat tiba ke Jeju melalui pengangkutan udara, Oh menegaskan usaha pengurangan karbon dalam sektor penerbangan adalah kritikal bagi merealisasikan aspirasi pulau bebas karbon.

Beliau berkata industri penerbangan kini menyumbang kira-kira 2.8 peratus kepada pelepasan karbon global, dan angka itu dijangka meningkat melebihi 5 peratus menjelang 2050.

Dalam konteks ini, pesawat UAM berkuasa elektrik dijangka mampu mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara berbanding pesawat konvensional.

“Peralihan ini sejajar dengan strategi Jeju menuju pelepasan sifar menjelang 2035, sekali gus menjadikan UAM sebagai tonggak penting dalam memperkukuh kelestarian jangka panjang pulau ini,” katanya.

 

Membina Keyakinan Awam terhadap UAM

Dalam usaha memastikan penerimaan awam, kerajaan wilayah memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kebolehpercayaan teknologi UAM.

Oh berkata hanya pesawat yang diperakui oleh badan berwibawa seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) akan digunakan, selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan sedia ada.

Beliau turut menekankan bahawa kenderaan udara elektrik menghasilkan bunyi jauh lebih rendah berbanding helikopter konvensional, sekali gus mengurangkan gangguan bunyi kepada penduduk setempat.

Bagi memperkukuh pemahaman dan kerjasama, Jeju menganjurkan acara seperti Global Future Aerospace Confesta serta memperluas kerjasama dengan pemain industri termasuk K-UAM Dream Team, syarikat eVTOL dari Amerika Syarikat, Joby Aviation, dan syarikat pengendali vertiport dari United Kingdom, Skyports.

Dengan kedudukan strategik di Asia Timur, Jeju menyasarkan untuk menjadi hab serantau bagi mobiliti udara mampan, seiring usaha negara-negara jiran seperti China dan Jepun yang turut membangunkan inisiatif UAM masing-masing.

Beliau menambah bahawa Jeju merancang memperluas kerjasama dengan negara ASEAN dalam bidang teknologi UAM, dasar dan pembangunan pelancongan.

“Melalui pembentukan platform kerjasama seperti projek perintis, demonstrasi teknologi dan ujian operasi, Jeju berhasrat memainkan peranan penting dalam memacu inovasi mobiliti masa depan di Asia Timur,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan