WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUAFAKAT KERAJAAN PERPADUAN MANTAP, TIADA USAHA SABOTAJ - PM ANWAR

30/12/2025 06:22 PM

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata muafakat Kerajaan Perpaduan amat mantap tanpa sebarang usaha sabotaj atau khianat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata ia berbeza dengan situasi yang sedang berlaku dalam perikatan politik lain.

"Saya bersyukur, Alhamdulilah kerana muafakat Kerajaan Perpaduan MADANI itu lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan politik tanah air yang menyaksikan pergolakan dan krisis kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Jan 2026, selepas lima tahun mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi.

Peletakan jawatan itu kemudiannya disusuli beberapa pemimpin lain, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) serta ADUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan