WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AZHAN MD OTHMAN DILANTIK SEBAGAI PANGLIMA TENTERA DARAT BAHARU, PELANTIKAN PAT DITANGGUH

31/12/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31, berkuat kuasa esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-631 yang bersidang pada 19 Nov lepas dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Dis lepas.

“Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM) serta meningkatkan keupayaan operasi ATM dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara kini dan masa hadapan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata pelaksanaan keputusan Mesyuarat MAT ke-631 berhubung pelantikan PTD Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) telah ditangguhkan.

“Beliau diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan beliau.

“Sehubungan itu, tugas PAT akan dipangku oleh Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, sebagaimana pengumuman yang telah dibuat pada 27 Dis,” katanya.

Mohamed Khaled berkata langkah-langkah itu diambil bagi menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti ATM di samping memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara terus berada pada tahap tertinggi.

Pada Sabtu lepas, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa Muhammad Hafizuddeain bercuti serta-merta sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan beliau.

Sebelum itu, media melaporkan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa seorang pegawai kanan ATM disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan