WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMBUTAN TAHUN BAHARU PEMANGKIN AWAL KEMPEN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 - PM ANWAR

01/01/2026 11:33 AM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu yang diraikan dalam suasana penuh harmoni dan meriah malam tadi menjadi pemangkin awal kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sambutan berkenaan juga mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia.

“Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar, termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan dalam suasana aman dan tertib.

“Moga penganjuran sebegini terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional, serta membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan dihormati di persada global,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 membuka tirainya secara rasmi menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, iaitu sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur.

Festival kira detik yang disertai Anwar, menandakan permulaan kepada usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan