WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEINDAHAN ALAM SEMULA JADI, TAPAK WARISAN ANTARA TARIKAN DI PERAK - EXCO

01/01/2026 05:10 PM

IPOH, 1 Jan (Bernama) -- Keindahan alam semula jadi, tapak warisan bertaraf dunia serta produk ekopelancongan dan pelancongan sukan lasak terus menjadi antara tarikan utama Perak dalam menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata mengambil kira semua aspek, Perak menyasarkan 10.5 juta pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini bersempena kempen berkenaan.

Beliau berkata sasaran itu turut dipacu oleh limpahan pelawat dari hab utama negara, kemudahan visa serta penganjuran pelbagai acara berskala nasional dan antarabangsa, sejajar dengan penyenaraian negeri itu dalam Kalendar Acara Pelancongan Malaysia 2026.

“Pelbagai festival, pameran kebudayaan dan pengalaman pelancongan bertaraf antarabangsa telah dirangka secara rapi bagi memastikan satu tahun yang penuh warna dan berimpak tinggi kepada sektor pelancongan serta ekonomi negeri,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Terdahulu, Loh menyempurnakan sambutan ketibaan pelawat terawal di negeri ini sebagai sebahagian daripada inisiatif TMM2026.

Beliau berkata bagi kerajaan negeri, komitmen yang tidak berbelah bahagi akan terus diberikan terhadap pelaksanaan TMM2026, selaras aspirasi kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mengangkat industri pelancongan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri Perak akan terus bekerjasama erat dan seiringan dengan MOTAC serta Tourism Malaysia bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berkesan demi menjayakan sepenuhnya TMM 2026,” katanya.

Beliau berkata dari segi kemudahan pengangkutan pelancong domestik lazimnya menggunakan kenderaan persendirian atau pengangkutan sedia ada, manakala pelancong antarabangsa pula lebih cenderung berjalan kaki atau menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Sebab di Perak, khususnya Ipoh kita adalah negeri yang sangat selamat. Rakyatnya juga ramah dan sentiasa senyum. Jadi pelancong antarabangsa lebih memilih untuk berjalan kaki atau menggunakan perkhidmatan e-hailing, dan saya rasa tiada masalah kerana perkhidmatan itu amat mudah di Perak,” katanya.

Loh berkata antara tarikan utama di Perak bagi tahun ini ialah Gua Tempurung di Gopeng, Kellie’s Castle di Batu Gajah, kompleks istana di Kuala Kangsar, Menara Condong Teluk Intan serta kawasan bersejarah di Lenggong.

Menyentuh kawasan geopark, khususnya melibatkan gua batu kapur yang masih ditutup, beliau berkata kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap keselamatan pelancong dan kawasan berkenaan hanya akan dibuka setelah kerja penambahbaikan atau baik pulih selesai serta keselamatan pengunjung terjamin.

“Ada juga pemain industri yang telah menutup (gua batu) secara automatik. Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain industri yang bertanggungjawab kerana mereka turut memikirkan keselamatan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Melbourne, Australia, Alan Anderson, 48, ketika ditemui Bernama berkata beliau memilih untuk melawat Ipoh kerana tempat asal usul ibunya yang ketika ini menetap di Adelaide, selain mahu menikmati pelbagai makanan enak di bandar raya ini.

“Saya pernah datang ke sini beberapa kali dan antara perkara yang sentiasa saya ingat ialah makanannya. Saya tidak sabar untuk menikmati pelbagai makanan enak yang terdapat di sini lebih-lebih lagi sate. Sekali makan saya boleh habiskan 60 cucuk,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata beliau belum ada rancangan tertentu sepanjang percutian itu tetapi kemungkinan besar akan membabitkan aktiviti riadah dan santai di luar. 

“Kami belum putuskan lagi tetapi yang pasti kami ingin berehat dan melakukam aktiviti riadah sebab bapa saya suka mendaki Bukit Kledang. Jadi, kemungkinan kami akan ke sana beberapa kali,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan