WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HUJAN LEBAT CETUS BANJIR, TANAH RUNTUH DI BANDAR NEGOR, FILIPINA

01/01/2026 08:32 PM

DUMAGUETE CITY (Filipina), 1 Jan (Bernama-PNA) -- Hujan lebat daripada ribut petir yang melanda sejak beberapa hari lepas telah mencetuskan kejadian tanah runtuh berturut-turut serta banjir di Bindoy, Negros Oriental, sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas ketika operasi pembersihan sedang giat dijalankan pada hari Tahun Baharu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Ketua Pejabat Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana (DRRMO) Bindoy,  Wilfur Herrera Jr. berkata setakat pukul 1.30 tengah hari Khamis, lebuh raya nasional di Barangay Malaga hanya boleh dilalui sebahagiannya sahaja.

“Kami sedang bekerja lebih masa bagi mengelakkan gangguan lalu lintas yang berpanjangan. Laluan terbabit telah dibersihkan buat permulaan bagi membolehkan kenderaan melaluinya secara satu lorong dan terkawal mengikut giliran,” kata Herrera.

Bindoy dilanda banjir dan tanah runtuh pada Selasa serta Rabu malam, namun tiada kemalangan jiwa atau pemindahan penduduk dilaporkan setakat ini.

Pada Selasa malam, hujan lebat mencetuskan runtuhan batu dan banjir lumpur di sepanjang lebuh raya nasional di Barangay Malaga, selain banjir yang turut menjejaskan Barangay Poblacion, Domolog, Cabugan, Tinaogan, dan Pangalaycayan. Operasi pembersihan dimulakan serta-merta dan berlanjutan sehingga pagi Rabu, membolehkan lalu lintas kembali pulih selepas air banjir surut.

Bagaimanapun, satu lagi kejadian tanah runtuh pada skala lebih besar berlaku sejurus sebelum tengah malam Rabu, yang sekali lagi menghalang laluan lebuh raya di Barangay Malaga.

Kerajaan Wilayah Negros Oriental telah menghantar jentera berat dan kakitangan bagi membantu usaha pembersihan bersama pasukan dari Bindoy, kawasan berhampiran Ayungon, Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya, serta kontraktor swasta.

Menurut Herrera, penilaian kerosakan masih dijalankan dan data mengenai rumah yang terjejas sedang dikumpul bagi tujuan penyaluran bantuan.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan