WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPS AMBANG TAHUN BAHARU: POLIS KELUARKAN 12,437 SAMAN

01/01/2026 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Polis mengeluarkan 12,437 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi Ops Ambang Tahun Baharu 2026 yang dijalankan di seluruh negara bermula 9 malam semalam hingga 2 pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya turut menyita 390 kenderaan dan menahan 25 individu mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Turut ditahan 20 individu mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiga individu ditahan di bawah Kanun Keseksaan dan tiga lagi di bawah lain-lain akta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata 327 pegawai kanan dan 2,460 pegawai rendah polis terlibat dalam operasi tersebut dengan kerjasama beberapa agensi luar.

“Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan 258 anggota, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (80), Jabatan Alam Sekitar (JAS) (70), Jabatan Imigresen Malaysia (58), konsesi lebuh raya (54) serta pihak berkuasa tempatan (lapan),” katanya.

Mohd Yusri berkata operasi berkenaan dilaksanakan di 240 lokasi seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang sambutan ambang tahun baharu.

Di PULAU PINANG, polis mengeluarkan 582 saman serta menyita 26 motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi operasi yang dijalankan bermula 8.30 malam semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan di seluruh negeri dengan penglibatan 165 pegawai dan anggota polis selain kerjasama strategik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata kesalahan tertinggi melibatkan motosikal antaranya tiada nombor pendaftaran, tidak mempamerkan pelekat P, pengubahsuaian struktur serta penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi.

“Satu tangkapan dibuat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Selain itu,  677 individu dan 626 kenderaan diperiksa di seluruh negeri dengan JPJ mengeluarkan 192 notis saman, AADK merekodkan satu kes positif daripada 41 saringan dadah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau memaklumkan JAS pula menjalankan 35 ujian meter bunyi dan mengeluarkan 20 notis ujian semula serta 20 tindakan kompaun ke atas kenderaan yang melanggar peraturan

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan