GENEVA, 1 Jan (Bernama-Anadolu) -- Puluhan orang terkorban manakala kira-kira 100 yang lain cedera dalam kebakaran sebuah bar di bandar peranginan ski Crans-Montana, Switzerland pada malam ambang Tahun Baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut pihak berkuasa pada Khamis, pelancong asing mungkin turut berada dalam senarai mangsa yang maut dan cedera.
Komander Polis Kanton Valais, Frederic Gisler berkata tragedi itu meragut “puluhan” nyawa manakala puluhan lagi mengalami kecederaan.
Presiden Majlis Negeri Mathias Reynard berkata kira-kira 100 orang cedera dengan “kebanyakannya cedera parah” dan telah dibawa ke pelbagai hospital. Beliau berkata kapasiti hospital di Valais kini berada pada tahap maksimum, dengan beberapa pesakit dipindahkan ke kemudahan kesihatan di luar kanton itu, khususnya ke hospital universiti.
Perkhidmatan kecemasan dikerahkan secara besar-besaran, dengan penglibatan 10 helikopter dan 150 anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian. Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya berwaspada agar tidak membebankan lagi kapasiti hospital. Hospital Valais kini bekerjasama dengan hospital di seluruh negara bagi merawat mangsa yang cedera.
Pihak berkuasa berkata masih terlalu awal untuk memberikan angka yang tepat atau mengenal pasti identiti mangsa dengan jumlah kematian rasmi tidak akan diumumkan buat masa ini.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti. Peguam Negara Valais, Beatrice Pilloud, berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, namun menegaskan bahawa “tiada letupan berlaku” meskipun laporan awal menyebut kemungkinan berlaku letupan.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada petunjuk kejadian itu berkait dengan sebarang serangan pengganas.
Pilloud berkata siasatan berhubung punca kebakaran sedang dijalankan dengan bantuan Institut Forensik Zurich, sambil menambah bahawa usaha mengenal pasti mangsa yang terkorban juga sedang diteruskan.
Pihak berkuasa juga merayu semua pihak agar bertenang dan memberi amaran supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca kebakaran bagi menghormati keluarga mangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial