KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Suku pertama 2026 dijangka menjadi tempoh sibuk bagi sektor tenaga boleh baharu (TBB), didorong oleh perkembangan seperti bidaan di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) pusingan keenam, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata sentimen itu akan turut memastikan penganugerahan pembinaan LSS terus memberi kebolehtampakan ketika projek-projek LSS5+ memasuki langkah sama.
Selain itu, Kenanga IB berkata butiran bagi Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (Solar ATAP) menggantikan program ‘Net Energy Metering (NEM) 3.0 yang tamat, telah diumumkan pada akhir 2025.
“Perkembangan itu, pada pendapat kami, akan menyemarakkan lagi momentum dalam ruang harga runcit, memandangkan proses permohonan akan dimulakan pada 1 Jan, 2026 dan seterusnya,” katanya.
Selain daripada solar, Kenanga IB berkata tempoh suku pertama 2026 akan turut menyaksikan aktiviti bidaan bagi kuota tambahan di bawah tarif “feed-in” atau tarif galakan 300 megawatt (MW) daripada tempoh Februari dan seterusnya.
Kenanga IB juga menyifatkan pelaksanaan Skim Pembekalan TBB Korporat (CRESS) bagi mendapatkan tenaga jangka panjang pada kadar lebih kompetitif, akan menjadi penarik bagi pusat data yang merupakan pelanggan tenaga voltan tinggi dengan nilai komited kepada CRESS setakat ini mencecah 1.3 gigawatt (GW) setakat Jun 2025.
“(Bagaimanapun), aspek pelaksanaan kekal menjadi perkara utama dengan kalangan penggiat dapat meningkatkan usaha lebih pantas menerusi kerjasama dan yang mempunyai rekod prestasi pelaksanaan yang telah terbukti akan mendahuluinya.
“Pihak korporat misalnya dalam usaha menetapkan harga panel solar bagi mengurangkan tekanan margin,” katanya.
Sementara itu, Kenanga IB berkata perbincangan mengenai rang undang-undang perubahan iklim yang akan menjelaskan lagi pelaksanaan cukai karbon, dijangka dibawa pada persidangan pertama Dewan Rakyat bagi 2026 dan boleh merangsang minat dalam sektor itu.
“Ruang TBB ini masih dalam peringkat pertumbuhan pantas. Sehubungan itu, Kenanga IB mengekalkan saranan ‘overweight’ (wajaran tinggi) terhadap sektor itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial