JOHOR BAHRU, 2 Jan (Bernama) -- Enam individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan bersenjata dan menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki di Taman Mount Austin, pada akhir bulan lepas.
Choy Soon Chye, 41, Soo Toh Siang, 30, Soh Say Shin, 36, Tan Shen Qi, 21, Yap See Hong, 26, dan Calvin Phua Khim Hau, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan serentak, masing-masing di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Di Mahkamah Sesyen, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan cedera parah ke atas Low Chun Yong, 28, dengan menggunakan senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kematian termasuk sebilah pisau pemotong daging, taser gun, kerusi plastik dan batang besi di hadapan sebuah restoran di Jalan Mutiara Emas 2A, kira-kira 3.30 pagi, 27 Dis lepas.
Tindakan mereka itu didakwa di bawah Seksyen 326 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun, denda atau sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmy, manakala lima tertuduh diwakili peguam T. Haressh dan Amarpreet Singh Rajwinder Singh mewakili Calvin Phua.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan syarat seorang penjamin warganegara, tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berdekatan.
Di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh turut didakwa terlibat dalam rusuhan dan memiliki pisau serta kerusi plastik, iaitu suatu senjata yang boleh digunakan untuk menyerang semasa kejadian di lokasi dan tarikh sama.
Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala peguam sama mewakili tertuduh.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.
Tarikh 3 Feb depan ditetapkan untuk serahan dokumen di kedua-dua mahkamah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial