MANJUNG, 4 Jan (Bernama) -- Penstrukturan semula bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan menjejaskan pinjaman perumahan serta lain-lain pinjaman, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata tindakan hanya dikenakan terhadap peminjam yang langsung tidak membuat sebarang bayaran dan gagal menghubungi atau berbincang dengan pihak PTPTN mengenai kedudukan kewangan mereka.
“Saya sering kali tekankan, kita menggunakan istilah "keihsanan". Kita tidak mahu peminjam merasakan bahawa tuntutan untuk membayar pinjaman PTPTN itu satu tekanan besar kepada mereka.
“Bagi mereka yang membayar, adakalanya mereka mempunyai kesulitan, mereka boleh datang untuk berbincang dan saya telah memaklumkan kepada pihak PTPTN, Ketua Eksekutif PTPTN (Ahmad Dasuki Abdul Majid) ada di sini, beliau boleh mengesahkan dari segi arahan kerajaan supaya ruang perbincangan itu diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penyerahan bantuan kepada 1,350 pelajar bagi program kembali ke sekolah di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata sambutan terhadap Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang kini berjumlah kira-kira RM20 bilion mencerminkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa supaya menyimpan untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka.
"Saya lihat sambutan kepada tabung SSPN ini begitu baik sekali. Seperti mana yang dapat kita lihat, contohnya setiap tahun dari segi dividen juga semakin meningkat.
“Secara keseluruhannya, saya ingin menggalakkan para ibu bapa dan sesiapa sahaja untuk menabung dalam SSPN untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka," katanya.
Selain pinjaman PTPTN, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai saluran membantu pelajar terutama daripada kalangan berpendapatan rendah untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk melalui program SULUNG.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial