KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu serta pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan, antara dua fokus utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada sesi persekolahan 2026.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata 2026 menjadi tahun penting susulan pengembalian semula sesi persekolahan kepada Januari, selain pelaksanaan awal kurikulum prasekolah yang sepatutnya bermula pada 2027.
“Tumpuan KPM adalah untuk pelaksanaan kurikulum prasekolah. Yang kedua ialah Pelan Pembangunan Pendidikan baharu yang akan diluncurkan pada Januari,” katanya ketika menghadiri Program Ceria ke Sekolah bersama ERM Foundation bagi Parlimen Bandar Tun Razak di Seri Kembangan, hari ini.
Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Dalam pada itu, Fadhlina menyifatkan program bantuan persekolahan itu sebagai amat bermakna dalam membantu meringankan beban ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Seramai 800 murid menerima bantuan pada program hari ini, manakala keseluruhan penerima bantuan persekolahan di Parlimen Bandar Tun Razak melibatkan kira-kira 5,000 murid.
Beliau berkata inisiatif sedemikian selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan pendidikan anak-anak terus terbela serta kesiapsiagaan persekolahan dapat dipertingkatkan.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata program berkenaan mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak dalam membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
“Alhamdulillah, pada kesempatan ini kita dapat bersama-sama dalam satu program yang cukup bermakna apabila kita dapat menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepada ERM Foundation selaku penaja program atas komitmen dan sokongan yang berterusan kepada anak-anak muda,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Sementara itu, Pengasas ERM Foundation Xin Er berkata inisiatif berkenaan, yang menyediakan bantuan kewangan RM300 serta kelengkapan persekolahan kepada 800 pelajar di Parlimen Bandar Tun Razak, bertujuan membantu kanak-kanak kurang berkemampuan menghadapi sesi persekolahan baharu, dan berharap program itu dapat dijadikan acara tahunan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial