WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EKSPORT INDONESIA MENINGKAT 5.61 PERATUS BAGI JAN-NOV 2025

05/01/2026 09:37 PM

JAKARTA, Jan 5 (Bernama) -- Nilai eksport Indonesia bagi tempoh Januari hingga November 2025 mencecah US$256.56 bilion, meningkat 5.61 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024, menurut Badan Pusat Statistik (BPS).

Data terbaharu yang dikeluarkan di laman sesawang BPS menunjukkan eksport bukan minyak dan gas meningkat 7.07 peratus kepada US$244.74 bilion dalam tempoh berkenaan, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh lemak dan minyak haiwan atau sayuran yang naik sebanyak US$6.36 bilion atau 26.24 peratus.

Komoditi lain yang turut mencatat peningkatan ialah mesin dan peralatan elektrik serta alat ganti, meningkat US$3.73 bilion atau 26.99 peratus; bahan kimia dan produk berkaitan, meningkat US$2.80 bilion atau 48.02 peratus; logam berharga serta barang kemas atau batu permata, meningkat US$2.58 bilion atau 31.52 peratus; serta besi dan keluli, meningkat US$2.14 bilion atau 9.12 peratus.

Eksport nikel dan produk berkaitan turut meningkat sebanyak US$1.26 bilion atau 17.46 peratus; mesin dan peralatan mekanikal serta alat ganti meningkat US$1.10 bilion atau 17.26 peratus; kenderaan dan alat ganti meningkat US$1.05 bilion atau 10.41 peratus; manakala kasut meningkat US$603.9 juta atau 9.08 peratus.

Menurut BPS, China kekal sebagai destinasi terbesar eksport bukan minyak dan gas Indonesia dengan nilai US$58.24 bilion, diikuti Amerika Syarikat sebanyak US$28.14 bilion dan India sebanyak US$16.44 bilion, dengan ketiga-tiga negara itu menyumbang 42.02 peratus daripada keseluruhan eksport bukan minyak dan gas.

Sementara itu, eksport ke ASEAN berjumlah US$47.21 bilion, manakala Kesatuan Eropah mencatat US$17.75 bilion.

Eksport daripada sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turut meningkat 24.63 peratus. Namun, eksport bahan api mineral menurun sebanyak US$7.26 bilion atau 20.12 peratus, manakala sektor perlombongan dan lain-lain turut merosot 24.24 peratus.

Bagi import, BPS berkata Indonesia merekodkan peningkatan 2.03 peratus tahun ke tahun kepada US$218.02 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan import bukan minyak dan gas yang naik 4.37 peratus kepada US$188.61 bilion.

Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh mesin, peralatan elektrik dan alat ganti, yang mencatat kenaikan terbesar dalam kalangan kumpulan utama import bukan minyak dan gas, meningkat US$3.70 bilion atau 14.84 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

China kekal sebagai sumber terbesar import bukan minyak dan gas Indonesia dalam tempoh tersebut dengan nilai US$77.52 bilion atau 41.10 peratus, diikuti Jepun dan Amerika Syarikat.

Walaupun import meningkat, Indonesia merekodkan lebihan dagangan sebanyak US$38.54 bilion bagi tempoh Januari hingga November, disokong oleh lebihan bukan minyak dan gas sebanyak US$56.15 bilion yang membantu mengimbangi defisit sektor minyak dan gas sebanyak US$17.61 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan