KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Sebanyak 607 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan di tiga negeri dengan Sabah merekodkan pertambahan petang ini.
Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) memaklumakan jumlah mangsa di Kota Kinabalu dan Beaufort meningkat kepada 510 orang daripada 164 keluarga berbanding 495 orang daripada 159 keluarga pagi tadi berikutan hujan sejak Jumaat.
"Di Beaufort, seramai 328 mangsa daripada 118 keluarga dari lapan kampung ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon yang telah beroperasi sejak petang Jumaat.
"Bagi Kota Kinabalu pula, 182 mangsa daripada 46 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau," menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa dan agensi penyelamat sedang memantau rapi paras air serta keadaan semasa di lokasi terlibat selain membantu memindahkan penduduk ke kawasan lebih selamat.
Di SARAWAK, JPBN memaklumkan hanya satu PPS beroperasi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Miri yang menempatkan 47 mangsa daripada 18 keluarga setakat 4 petang ini.
Sementara itu, banjir di Kuching dan Lawas pulih sepenuhnya dan kesemua lapan PPS ditutup secara berperingkat bermula 12.30 tengah hari tadi.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun kepada 50 mangsa daripada 15 keluarga petang ini berbanding 85 mangsa daripada 25 keluarga pagi tadi.
Pengerusi JPBN Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata dua PPS masih beroperasi di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak yang menempatkan 36 mangsa daripada 11 keluarga manakala 14 mangsa daripada empat keluarga berlindung di Dewan Serbaguna Kampung Tandong.
Tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dengan bacaan 8.60 meter (m); Jeti Sungai Tekam, Segamat (3.85m) dan Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (2.93m).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial