WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA, TURKIYE SETUJU TINGKAT HUBUNGAN KE TAHAP HLSCC - PM ANWAR

08/01/2026 02:52 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Turkiye bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) bagi mempercepatkan kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin mencabar.

Anwar berkata keputusan itu mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi antara kedua-dua negara, selain menandakan peluasan kerjasama melangkaui perdagangan tradisional kepada bidang baharu termasuk teknologi, pertahanan, pendidikan, penyelidikan serta kewangan Islam.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di sini hari ini.

“Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, hubungan persahabatan semata-mata tidak lagi memadai dan memerlukan dasar baharu, khususnya bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama merentas pelbagai sektor.

“Justeru, saya merakamkan penghargaan atas persetujuan untuk menaikkan tahap kerjasama ini kepada Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi. Bagi pihak Malaysia, saya ingin menegaskan bahawa bentuk kerjasama seperti ini jarang diwujudkan dan tidak banyak negara mempunyai hubungan seumpama ini,” katanya.

Anwar berkata kerjasama berkenaan terjalin berasaskan kepercayaan, rasa hormat serta keyakinan terhadap keupayaan dan kekuatan rakyat Turkiye dalam bidang industri, sains dan teknologi, yang berpotensi diketengahkan di peringkat global.

Perdana Menteri kini dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan yang bermula semalam.

Terdahulu, Anwar dan Erdogan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat pertama HLSCC.

Anwar menegaskan kedua-dua negara perlu bertindak segera untuk menjelmakan komitmen kepada hasil yang nyata, sambil menekankan bahawa proses birokrasi konvensional tidak lagi mencukupi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif dan tidak menentu.

“Kita perlu bertindak segera. Tiada jumlah pengaturan birokrasi biasa yang mampu berkesan dalam dunia yang sangat kompetitif dan tidak menentu ini,” katanya.

Beliau berkata kerjasama harus diperluas melebihi sektor tradisional kepada disiplin baharu, termasuk kolaborasi pendidikan dan penyelidikan, yang disokong oleh mekanisme institusi antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut menekankan kerjasama pertahanan Malaysia dengan Turkiye, terutamanya dalam perolehan kerajaan-ke-kerajaan melibatkan aset tentera laut dan aeroangkasa, yang menurutnya memberi manfaat kepada Malaysia serta memperkenalkan prinsip kerjasama baharu berteraskan tadbir urus baik dan ketelusan.

Dalam pada itu, menyentuh isu antarabangsa,  Anwar menegaskan sokongan Malaysia terhadap usaha Turkiye menangani cabaran serantau dan global, khususnya situasi di Palestin dan Gaza.

Beliau mengecam tindakan Israel yang berterusan di Gaza, menyifatkannya sebagai pengabaian mutlak prinsip moral serta tidak menghormati nilai kemanusiaan dan keadilan, dan menegaskan Malaysia akan terus menyokong inisiatif yang bertujuan mempertahankan masyarakat yang ditindas. 

“Kita akan melakukan yang terbaik untuk menyokong usaha anda. Saya telah melihat inisiatif anda yang saya rasakan tiada tandingannya dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan bergantung kepada sokongan daripada rakan yang jujur serta boleh dipercayai seperti Presiden Erdogan.

“Begitu juga, dalam beberapa isu yang menjejaskan dunia, kita memerlukan suara moral. Kita memerlukan suara hati nurani dan kepimpinan. Dunia politik kini menghadapi defisit nilai moral dan etika,” katanya.

Anwar menegaskan Malaysia kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Turkiye sebagai model hubungan dwilateral yang bermakna, berasaskan kepercayaan, nilai bersama, dan kerjasama praktikal merentasi pelbagai sektor.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan