BEIJING, 9 Jan (Bernama-dpa) -- Kandungan haba lautan dunia sehingga kedalaman 2,000 meter mencapai rekod baharu pada 2025, iaitu tahap tertinggi sejak pengukuran dimulakan dan merupakan tahun kesembilan berturut-turut berlakunya pemanasan, menurut analisis oleh sekumpulan saintis antarabangsa.
Kajian yang diterbitkan pada Jumaat mendapati yang tenaga terma meningkat sebanyak 23 kuadrilion megajoule pada 2025 berbanding tahun 2024, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Pasukan yang diketuai oleh Lijing Cheng dari Akademi Sains China di Beijing menerbitkan penemuan penyelidikan mereka dengan data sejak 1958 dalam jurnal "Advances in Atmospheric Sciences."
Dari segi purata suhu permukaan laut global, 2025 menjadi tahun ketiga paling panas selepas 2024 dan 2023.
Penyelidik menjelaskan perbezaan antara suhu kedalaman dan suhu permukaan dengan menyatakan bahawa fenomena iklim El Nino di Lautan Pasifik lemah dengan ketara sepanjang tahun lalu.
Fasa El Nino biasanya dikaitkan dengan suhu global yang lebih tinggi di permukaan laut.
Apabila mempertimbangkan kandungan haba, suhu di lapisan lautan yang lebih dalam turut diambil kira. Oleh itu, peningkatan kandungan haba secara relatifnya kurang dipengaruhi oleh fenomena iklim permukaan dan dianggap sebagai petunjuk yang lebih penting bagi pemanasan planet.
"Lautan menyerap lebih daripada 90 peratus haba berlebihan yang terperangkap oleh gas rumah hijau, menjadikannya takungan haba utama sistem iklim. Oleh kerana kandungan haba lautan (OHC) mencerminkan pengumpulan haba yang tersimpan di dalam lautan, ia memberikan antara petunjuk terbaik bagi perubahan iklim jangka panjang," menurut pengarang kajian itu.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial