PUCHONG, 8 Jan (Bernama) -- Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi digariskan sebagai hala tuju strategik bagi memperkasa pengurusan bencana negara dengan lebih tersusun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata pengurusan bencana tidak boleh lagi bergantung kepada institusi semata-mata.
“Kita mesti memanfaatkan data raya, analitik ramalan serta integrasi maklumat cuaca, geospatial dan risiko sosial.
“Sistem amaran awal pintar perlu diperkukuh dan pendekatan anticipatory action mesti dijadikan amalan supaya kita bertindak sebelum bencana berlaku, bukan hanya selepas kerosakan terjadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim dan Komander Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Abdul Manaf Che Isa.
Ahmad Zahid berkata hala tuju strategik lain adalah tindakan pantas, terselaras dan berdisiplin serta kemanusiaan berteras nilai dan empati.
“Kecekapan di lapangan bergantung kepada struktur arahan yang jelas, protokol respons kebangsaan yang standard serta latihan bersepadu dan simulasi krisis yang konsisten.
“Dalam setiap tindakan, keselamatan dan maruah mangsa mesti menjadi keutamaan. Pendekatan berpusatkan rakyat perlu menjadi asas, dengan bantuan disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid mahu pengurusan Monsun Timur Laut 2025/2026 sebagai satu penanda aras baharu dalam pengurusan bencana negara.
“Persediaan awal yang dimulakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), disusuli dengan penyelarasan yang konsisten di peringkat lapangan membuktikan (kejayaan).
“Kerjasama rentas kementerian, jabatan, agensi serta kerajaan negeri mampu mengurangkan kelewatan, meminimumkan kekeliruan dan mempercepatkan tindak balas ketika rakyat berada dalam situasi paling kritikal,” katanya.
Beliau berkata Pasukan SMART akan menjalani INSARAG External Reclassification (IER) tahun ini sebagai satu usaha memperkukuhkan keupayaan teknikal di samping mengangkat imej negara kerana keterlibatan di dalam misi bantuan dan tindak balas bencana di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial