Daripada Muhammad Saufee Rosman
ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Upacara meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk, merupakan protokol rasmi yang perlu dipatuhi semua ketua negara semasa lawatan rasmi ke negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata upacara berkenaan bukan bersifat pilihan peribadi atau mencerminkan pendirian ideologi mana-mana pemimpin, sebaliknya merupakan keperluan diplomatik yang telah lama diamalkan kerajaan Turkiye.
“Semua ketua negara yang mengadakan kunjungan rasmi dikehendaki melakukan upacara tersebut. Setuju atau tidak, itulah rangkaian program rasmi yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air setelah mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye hari ini.
Anwar berkata amalan itu terpakai tanpa mengira parti atau kepimpinan yang mentadbir Turkiye, dan telah dilalui semua Perdana Menteri Malaysia yang pernah mengadakan lawatan rasmi ke negara itu sebelum ini.
“Kerajaan mana pun yang memerintah di Turkiye, itulah perintahnya. Semua Perdana Menteri Malaysia yang datang secara rasmi sebelum ini, sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Tun Razak, turut melalui upacara sama,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata penghormatan berkenaan perlu dilihat dalam konteks sejarah Turkiye, khususnya peranan Mustafa Kemal memimpin gerakan menentang percubaan kuasa Bersekutu selepas Perang Dunia Pertama untuk memecah-belah wilayah Empayar Uthmaniyyah, yang akhirnya membawa kepada pembebasan dan pembentukan republik moden itu.
“Jadi, rakyat Turkiye melihat Mustafa Kemal dalam konteks tersebut. Tentunya, saya juga ada pendapat peribadi yang kuat, kerana tatkala dia memimpin dan menguasai, ada beberapa keputusan yang saya rasa tak serasi dengan pandangan saya, tentang Islam, pertukaran bahasa, tulisan dan sebagainya.
“…tetapi itu tidak boleh memadamkan sumbangan, peranan dan sikap rakyat Turkiye tentang seorang tokoh besar yang berjaya membebaskan negara mereka daripada percubaan meleburkan dan menjadikannya sebahagian daripada wilayah di bawah penjajah Eropah,” kata beliau.
Sehubungan itu, Anwar menasihati orang ramai supaya tidak membuat penilaian tergesa-gesa atau menghukum tanpa memahami konteks sejarah serta amalan diplomatik antarabangsa yang menjadi kebiasaan dalam hubungan antara negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial