KANGAR, 9 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan sebanyak RM8.43 juta untuk bantuan persekolahan kepada 12,057 pelajar asnaf di seluruh negeri pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata daripada jumlah itu, RM3.20 juta diperuntukkan kepada 4,582 pelajar sekolah menengah manakala RM5.23 juta kepada 7,475 murid sekolah rendah dengan setiap seorang menerima RM700.
“Setiap pelajar memperoleh RM300 bagi sumbangan pakaian, alat tulis serta kelengkapan sekolah, RM300 untuk aktiviti kecemerlangan pendidikan dan pembangunan sahsiah manakala RM100 sebagai sumbangan tunai.
“Pendekatan agihan berstruktur ini bertujuan memastikan keperluan asas persekolahan, pembangunan potensi akademik serta pembentukan sahsiah pelajar asnaf dapat diperkukuh secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan itu di perkarangan Kompleks Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis di sini baru-baru ini.
Mohd Nazim berkata bantuan itu disalurkan hasil kerjasama strategik antara MAIPs dan Jabatan Pendidikan Perlis dengan pengurusan sekolah mengemukakan cadangan penerima yang disahkan dalam sistem maklumat dalam talian bagi memastikan proses pemilihan telus, berfokus dan menepati golongan sasar.
Beliau berkata bantuan persekolahan itu manifestasi keprihatinan berterusan MAIPs terhadap kebajikan pendidikan golongan asnaf dalam usaha membantu meringankan beban kos persekolahan.
“MAIPs optimis usaha ini akan terus memperkukuh agenda pendidikan di Perlis sekali gus memastikan kebajikan dan masa depan anak asnaf terus terbela serta tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan MAIPs melantik Guru-Guru Muraqib Amil bagi membantu mengenal pasti pelajar asnaf yang layak menerima bantuan bagi memastikan kebajikan golongan sasar dapat disantuni secara lebih berkesan dan menyeluruh dalam usaha memperkemas pelaksanaan agihan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial