WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN P.PINANG KOMITED SOKONG FAP BANGUNKAN BAKAT TEMPATAN

09/01/2026 03:46 PM

GEORGE TOWN,  9 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sebagai platform bagi membangunkan bakat-bakat tempatan yang berpotensi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata FAP menerusi Penang FC juga memberi peluang yang luas kepada pemain tempatan termasuk tidak menggunakan terlalu ramai pemain import berbanding kelab lain.

Beliau berkata usaha FAP itu dapat dilihat antaranya apabila beberapa pemain yang pernah bersama Penang FC dalam saingan Liga Super kini berjaya menyarung jersi kebangsaan.

"Kejayaan menewaskan Terengganu FC 2-0 baru-baru ini juga membuktikan FAP mempunyai pemain yang mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai pelaburan lebih besar," katanya pada sidang akhbar mengenai komitmen kerajaan negeri dalam memajukan bola sepak di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Gooi dalam pada itu mengakui kekuatan kewangan dalam era bola sepak moden memainkan peranan penting bagi membolehkan sesebuah pasukan mendapatkan khidmat pemain berkualiti dan membina skuad yang lebih kompetitif.

"Namun apa sahaja bajet yang diperuntukkan, FAP akan memanfaatkannya sebaik mungkin," katanya.

Mengenai usaha memperkukuh skuad bagi mengharungi baki aksi Liga Super, beliau berkata Penang FC telah memperkenalkan dua pemain import baharu dari Brazil, Erick Brendon yang bermain di posisi tengah dan pemain pertahanan dari Filipina Amirul Kamil Jaser sempena jendela perpindahan pertengahan musim.

Gooi berkata FAP turut giat menjalin kerjasama dengan sektor swasta bagi mewujudkan ekosistem bola sepak yang mampan dan antara contoh kerjasama berjaya ialah penajaan oleh perniagaan tempatan, Mat Salleh Bubble.

“Walaupun nilai penajaan tidak besar, kolaborasi ini membantu meningkatkan nilai komersial kedua-dua pihak dan memberi keyakinan kepada lebih banyak syarikat untuk menyokong bola sepak tempatan,” katanya.

Terdahulu dalam sidang akhbar itu, beliau berkata kerajaan negeri terus komited menyokong pembangunan bola sepak akar umbi dapat dilaksanakan secara teratur serta profesional dengan menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada FAP sejak September 2024.

Gooi berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan pelupusan tunggakan sewaan Stadium Bandaraya Pulau Pinang dari 1998 hingga 2016 berjumlah RM127,168.50 oleh FAP. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan