KUANTAN, 9 Jan (Bernama) -- Sebanyak 36 nelayan dari Kampung Pantai Pelindung di sini menerima bantuan bakul makanan menerusi Tabung Kebajikan dan Bencana Alam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meringankan beban kos sara hidup khususnya ketika musim tengkujuh.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata bantuan itu disalurkan kepada nelayan berpendapatan rendah daripada golongan B40 yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan
“Bantuan ini melibatkan bekalan makanan harian seperti beras, gula, minyak masak, tepung, kicap, sardin, kopi dan teh,” katanya pada Majlis Rahmah Mesra MADANI bersama Nelayan PNK Kuantan, di sini hari ini.
Beliau berkata lima nelayan dari Balok turut menerima Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM berjumlah RM7,000 kerana terjejas susulan banjir dan air pasang besar luar biasa mengakibatkan bot mereka terbalik pada November lepas.
“Jumlah Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM95,150 dan telah diterima oleh 51 orang penerima,” katanya.
Pada majlis sama, Muhammad Faiz turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf bangsal nelayan Kampung Beserah selain menyerahkan cek cura RM50,000 bagi pembinaan bangsal nelayan Kampung Pantai Pelindung.
Sementara itu, penerima bantuan Azan Tuan Mamat, 60, menzahirkan syukur atas bantuan wang tunai daripada LKIM bagi menggantikan botnya yang tenggelam akibat hujan lebat dan arus deras.
“Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu dan dapat meringankan beban terutama untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.
Beliau berkata hujan lebat dan banjir besar yang melanda Balok pada November tahun lepas telah menyebabkan kerosakan enjin, jaring serta peralatan menangkap ikan dengan anggaran kerugian RM5,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial