WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK KINABATANGAN: TEMPOH KEMPEN BERMULA, CALON BN ATUR STRATEGI PIKAT PENGUNDI

10/01/2026 04:01 PM

KINABATANGAN, 10 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar  memulakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dengan pelancaran jentera pilihan raya.

Bertempat di ‘command center’ BN di Bukit Garam, di sini, pelancaran jentera itu disempurnakan   Pengerusi BN Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Mohd Kurniawan Naim yang menjadi calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan akan berkunjung ke Pasar Tamu Kampung Sukau 6.30 petang ini dan seterusnya mengadakan sesi tinjauan mesra di kawasan itu yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pekan Kota Kinabatangan.

Jadual program kempen Bendahari Pemuda UMNO pusat yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan yang lebih dikenali sebagai Naim Moktar itu, berakhir dengan aktiviti bermain futsal bersama belia Kampung Sukau pada 9 malam.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 23 Jan, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan