KUALA LUMPUR, 10 Jan -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) memperkenalkan program Paw’er Up with Roarie, sebuah inisiatif pendidikan interaktif bagi memperkasakan literasi kewangan golongan muda.
Program di bawah inisiatif kelestarian GREAT- Pintar itu menyasarkan kanak-kanak dan remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun, dengan pendedahan kepada kemahiran asas pengurusan wang secara menyeronokkan dan mudah difahami, sekali gus menyokong kesejahteraan kewangan jangka panjang.
Ketua Jabatan Pemasaran Great Eastern Takaful Berhad Rashida Mior Ahmad Darwish berkata kemunculan generasi baharu dalam era teknologi masa kini, menuntut pendekatan pendidikan berbeza khususnya melalui konsep edutainment.
“Paw’er Up with Roarie menggabungkan elemen permainan dan pendidikan, mewujudkan suasana di mana kanak-kanak belajar sambil berseronok.
“Melalui permainan interaktif, aktiviti kreatif dan pelajaran praktikal, kami berusaha menyediakan asas kukuh pemahaman kewangan, sekali gus memperkasakan generasi baharu agar membuat keputusan bijak dan membina masa depan yang terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Great Eastern Takaful dalam membina generasi masa hadapan yang lebih yakin dari segi kewangan, selain mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai organisasi yang menitikberatkan literasi kewangan sebagai asas kepada kesejahteraan kewangan sepanjang hayat.
Pelancaran program Paw’er Up with Roarie di Tropickle, Ampang berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 peserta, termasuk pelanggan, orang awam serta kakitangan Great Eastern Takaful.
Pada acara itu, pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik diadakan antaranya sesi literasi kewangan interaktif serta bengkel kreatif yang direka khas untuk kanak-kanak dan ibu bapa, selain kemunculan Roarie, maskot Great Eastern Takaful.
Antara tarikan utama lain ialah permainan mesra keluarga seperti Family Paw-er Mission, Paw-fect Shot Score, Paw-tastic Art Corner serta pelbagai aktiviti lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial