WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEJALAN KAKI MAUT DIREMPUH KERETA DI NKVE - POLIS

11/01/2026 02:59 PM

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Seorang pejalan kaki yang tidak dikenal pasti identiti, maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 9.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata kemalangan pada 11.15 malam itu melibatkan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan dan pejalan kaki itu, seorang lelaki dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun.

“Kemalangan ini berpunca daripada pejalan kaki yang tiba-tiba melintas jalan dan berada di tengah-tengah lorong kedua paling kanan selepas susur Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah dari Klang ke Damansara, sebelum dilanggar kereta yang bergerak terus di laluan tersebut. 

“Kemalangan itu mengakibatkan pejalan kaki terbabit maut di tempat kejadian. Punca kematian ialah head injury due to motor vehicle accident,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramsay berkata usaha mengesan identiti si mati masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Beliau turut meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman menerusi talian 019-7757354.

Terdahulu, tular satu rakaman video papan pemuka berdurasi 20 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki maut dirempuh sebuah kenderaan di atas jalan raya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan