WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BANTUAN MAUT SELEPAS PULANG ZIARAH IBU TIRI MENINGGAL DUNIA

12/01/2026 02:43 AM

SUNGAI BULOH, 11 Jan (Bernama) -- Perjalanan pulang seorang anggota polis bantuan bersama keluarganya ke Batu Pahat, Johor selepas menziarahi arwah ibu tiri yang meninggal dunia di Jitra, Kedah berakhir tragis apabila beliau maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi tadi.

Luqman Nul Hakim Halim, 37, yang berasal dari Kedah dan menetap di Batu Pahat difahamkan menaiki bas berkenaan bersama isterinya yang dikenali sebagai Nabila, 40, serta empat anak mereka.

Anak saudara mangsa, Nor Ashikin Nordin, 32, seorang suri rumah yang menetap di Subang berkata beliau menerima panggilan daripada bapa mangsa memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas ke Hospital Sungai Buloh.

“Awalnya, saya dimaklumkan arwah belum meninggal dunia. Saya terus datang ke hospital dan diminta menunggu di zon merah kerana keadaan arwah ketika itu sangat kritikal,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh.

Nor Ashikin berkata beliau difahamkan Luqman Nul Hakim mengalami  kecederaan parah akibat tertusuk besi penghadang jalan pada bahagian perut.

Beliau berkata sehingga kini ahli keluarga belum bertemu isteri Luqman Nul Hakim kerana masih menerima rawatan akibat kecederaan retak dan patah pada bahagian kaki serta tangan.

“Anak-anak arwah saya ambil sekejap untuk dijaga sementara isteri arwah sedang menerima rawatan dan berurusan dengan pihak polis. Mereka masih kecil, yang sulung berusia 10 tahun manakala bongsu baru tujuh bulan,” katanya.

Nor Ashikin berkata jenazah Luqman Nul Hakim dijangka dikebumikan di Beranang, Selangor kerana ahli keluarga terdekat berada di kawasan berkenaan.

“Difahamkan jika bedah siasat selesai pada malam ini, pengebumian akan dilakukan segera. Bapa arwah sedang dalam perjalanan kerana pagi tadi menguruskan urusan kematian ibu tiri arwah yang meninggal dunia tiga hari lepas,” katanya.

Sementara itu, seorang pembantu tadbir swasta Kamaruz Zaman Khairul Anam, 25, mengakui terkejut selepas menerima panggilan telefon daripada ibunya yang memaklumkan beliau dan bapanya turut terbabit dalam kemalangan sama.

“Ibu memaklumkan ayah mengalami kecederaan pada bahagian kaki selepas tersepit dan terpaksa menunggu bantuan bomba. Ibu juga mengetuk cermin bas bagi memudahkan anggota bomba memecahkan tingkap untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Kamaruz Zaman berkata bapanya yang berusia 59 tahun kini masih dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh manakala ibunya hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan pulang.

Dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah lori tiga tan di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) antara Sungai Buaya dan Rawang, dekat sini pada 5.51 pagi tadi, bas berkenaan membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata 38 penumpang berjaya keluar dalam keadaan selamat pada 6.33 pagi.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, dengan sembilan daripadanya menerima rawatan di zon hijau, tiga di zon kuning dan tiga di zon merah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan